Berita Berita
UiTM henti ambil pelajar antarabangsa Ijazah Sarjana Muda, fokus Bumiputera B40
SHAH ALAM 21 Ogos - Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak lagi mengambil pelajar antarabangsa bagi program Ijazah Sarjana Muda sejak dua tahun lalu, sebaliknya memberi tumpuan kepada golongan Bumiputera khususnya daripada kelompok B40.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan akses pendidikan tinggi universiti terus mengutamakan anak-anak B40, masyarakat Orang Asli serta penduduk Sabah dan Sarawak.
"Langkah ini selari dengan prinsip UiTM yang mengekalkan kadar yuran terendah, bagi memastikan akses pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara berterusan terutamanya untuk golongan B40, yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan.
"Meskipun tanpa penyertaan pelajar antarabangsa pada peringkat Sarjana Muda, UiTM kekal komited untuk melonjakkan kedudukannya daripada tangga ke-549 kepada kelompok 300 terbaik dunia, dalam penarafan QS World University Rankings," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas membentangkan Pelan Strategik UiTM2030 yang dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Kamil Jamil di Anjung Seri Budiman, UiTM, di sini hari ini.
Pelan Strategik UiTM2030 merupakan kerangka tindakan lima tahun universiti itu bagi memacu kecemerlangan akademik, kemampanan kewangan serta transformasi digital berimpak tinggi dalam melahirkan graduan Bumiputera yang berdaya saing di peringkat global.
Menurut Shahrin, sasaran penjanaan pendapatan kendiri universiti sebanyak 25 peratus menerusi pelan berkenaan akan digerakkan melalui sektor lain termasuk penawaran program pascasiswazah, persediaan profesional serta program pelajar dewasa menerusi Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS) yang kini mempunyai kira-kira 13,000 pelajar.
"Kita juga memanfaatkan kaedah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) dan pembelajaran berasaskan kerja dengan lebih 200 anggota tentera kini melanjutkan pengajian diploma dari tempat kerja, tanpa perlu berada di dalam kampus," katanya.
Shahrin berkata inisiatif berkenaan merupakan strategi UiTM memperluas sumber kewangan baharu secara mampan serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.
Katanya, keupayaan universiti menjana pendapatan kini mencecah kira-kira RM400 juta setahun menerusi aktiviti sewaan, perundingan dan kursus khas.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata UiTM akan menerapkan komponen kecerdasan buatan (AI) dalam semua mata pelajaran di setiap fakulti termasuk kampus cawangan di seluruh negara, bermula Oktober ini.
Menurutnya, inisiatif itu tidak akan dilaksanakan menerusi penawaran subjek khusus, sebaliknya komponen AI akan disepadukan secara langsung dalam kurikulum sedia ada.
"Kita mahu memastikan semua mata pelajaran dilengkapi komponen AI dan dibangunkan secara langsung dalam kurikulum sedia ada, supaya asas AI dapat dikuasai oleh semua pelajar UiTM sebelum mereka dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
"Dari segi sumber, kita mempunyai kepakaran sedia ada. Pelaburan akan diberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain memanfaatkan AI secara meluas dalam pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran," katanya.
– Bernama
Berita berkaitan
August 21, 2026, 11:00 am
SPRM mohon reman bekas CEO Tabung Haji
August 21, 2026, 10:48 am
Jadi lokasi buang bahan binaan dari Singapura, 14 pemilik tanah di Pontian diberi notis
August 21, 2026, 10:07 am
Dua penunggang basikal maut dirempuh kereta di Jalan Persiaran Selatan Putrajaya
August 21, 2026, 9:52 am
Lelaki warga asing didakwa hina Islam di Mahkamah Majistret Johor Bahru
August 21, 2026, 9:51 am
