TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM mohon reman bekas CEO Tabung Haji

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 21 Ogos - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) tiba di Mahkamah Putrajaya, pagi ini bagi mendapatkan perintah reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Individu berusia 60-an itu tiba kira-kira jam 9.38 pagi dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum dibawa pegawai SPRM.

Lelaki berkenaan dilihat dalam keadaan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM.

Difahamkan, permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung dapatan laporan RCI mengenai TH.

Laporan RCI yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor penambahbaikan.

Sumber sebelum ini memaklumkan individu terbabit merupakan ahli korporat terkenal yang pernah memegang jawatan di beberapa syarikat terkemuka di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan SPRM telah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI berkenaan.

Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Pada 30 Julai lalu, SPRM menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan RCI Tabung Haji, termasuk mengenal pasti kemungkinan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

+ - reset