Berita Berita
Hampir 60km jalan utama KL diturap semula, jangka hayat naik hingga 50%, misi bebas jalan berlubang - Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Sebanyak 59 kilometer (km) jalan protokol dan utama di sekitar ibu negara bakal diberi nafas baharu menerusi Program Turapan Lapan Jalan membabitkan keluasan kira-kira 1.3 juta meter persegi.
Program berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa dengan sasaran meningkatkan jangka hayat turapan jalan sehingga 50 peratus, selain memastikan kawasan terlibat 100 peratus bebas daripada masalah jalan berlubang.
Fasa pertama membabitkan lima laluan utama mula dilaksanakan secara berperingkat bulan ini dengan kos keseluruhan RM61.64 juta dan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, fokus utama Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2026 adalah mengutamakan semula perkhidmatan asas bagi memastikan kebajikan dan keselamatan warga kota sentiasa terpelihara.
“Bagi perbelanjaan kali ini, jangka hayat (jalan) dijangka meningkat hingga 50 peratus berbanding tampalan biasa sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan hingga 40 peratus... kali ini perbelanjaannya besar tetapi kita mahu pastikan ia berbaloi,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja penurapan jalan, di sini, malam tadi.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Hannah berkata, kerja penurapan hanya dilaksanakan pada waktu malam antara jam 10 malam hingga 5 pagi bagi mengurangkan gangguan kepada aliran trafik pada waktu puncak.
“Jadi, pengguna diminta bersabar kerana jalan raya utama ini tidak boleh ditutup sepenuhnya... ini merupakan keseimbangan terbaik yang boleh kita laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Fadlun berkata, DBKL menyediakan belanjawan khas melebihi RM100 juta bagi menjayakan keseluruhan projek penurapan secara komprehensif berkenaan.
Katanya, fasa kedua melibatkan laluan sepanjang lebih 15 km dengan kos RM43 juta.
Beliau berkata, kaedah pengisaran dan penurapan semula dipilih kerana mampu menghasilkan permukaan jalan yang lebih tahan lama berbanding kaedah tampalan konvensional.
Fasa pertama membabitkan lima laluan utama iaitu Lebuhraya Sultan Iskandar-Jalan Damansara-Jalan Istana, Bulatan Syed Putra-Mid Valley Megamall (arah masuk dan keluar), Jalan Sultan Ismail (susur Jalan Kuching-Jalan Imbi) dan Jalan Ampang (susur Intermark-Jalan Raja Chulan).
Ia turut melibatkan susur masuk lebuh raya berhadapan lapangan terbang lama (Lebuhraya Kuala Lumpur (KL)-Seremban Fasa 1) sehingga susur masuk Lebuhraya SPE serta susur masuk Lebuhraya SPE-pintu gerbang (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 2).
Fasa kedua yang dijadualkan bermula September depan pula melibatkan tiga laluan dengan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu.
Laluan berkenaan ialah Bulatan Batu Caves-Simpang Jalan Sultan Sulaiman (Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu), Bulatan Kampung Pandan-Menara PJD (Jalan Tun Razak) serta pintu gerbang-sempadan Kuala Lumpur-Selangor (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 3).
Penggunaan Stone Mastic Asphalt (SMA14) dan cat thermoplastic yang mempunyai kebolehan memantulkan cahaya turut digunakan bagi meningkatkan ketahanan terhadap beban berat serta keterlihatan, sekali gus memperkukuh aspek keselamatan pengguna jalan raya.
Berita berkaitan
August 21, 2026, 12:19 pm
'Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu di Brunei' - Anwar balas jemputan murid taska
August 21, 2026, 11:00 am
SPRM mohon reman bekas CEO Tabung Haji
August 21, 2026, 10:51 am
UiTM henti ambil pelajar antarabangsa Ijazah Sarjana Muda, fokus Bumiputera B40
August 21, 2026, 10:48 am
Jadi lokasi buang bahan binaan dari Singapura, 14 pemilik tanah di Pontian diberi notis
August 21, 2026, 10:07 am
Dua penunggang basikal maut dirempuh kereta di Jalan Persiaran Selatan Putrajaya
August 21, 2026, 9:52 am
Lelaki warga asing didakwa hina Islam di Mahkamah Majistret Johor Bahru
August 21, 2026, 9:51 am
