Berita Berita
Isu Felda: 'Siasat siapa yang bertanggungjawab, tapi jangan malukan mana-mana individu macam sebelum ini' – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR 23 Ogos – Mana-mana individu yang terbukti bertanggungjawab terhadap salah laku dalam pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dibawa ke muka pengadilan, namun proses siasatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menganiaya atau mengaibkan mana-mana pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan terhadap individu terbabit perlu berasaskan bukti kukuh serta melalui proses yang adil.
“Tentunya mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati bukti-bukti yang kukuh.
“Tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman atau bertujuan untuk memalukan mana-mana individu, sebagaimana yang pernah dilakukan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) 2026 Minister and CEO’s Summit di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Felda berdepan permasalahan besar yang berlaku dalam tempoh lama, termasuk kerugian atau kehilangan hampir RM10 bilion yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh ditoleransi.
Katanya, siasatan terperinci perlu dijalankan sekiranya terdapat dakwaan membabitkan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau kegagalan mematuhi tatakelola.
“Yang penting bukan hanya management auditing, tetapi forensic auditing mesti dilakukan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun bekas Pengerusi Felda sebelum ini telah menjalani hukuman.
Beliau berkata, kepentingan 225,000 peneroka Felda serta generasi pertama hingga kelima yang membabitkan kira-kira 1.8 juta individu secara langsung dan tidak langsung perlu terus dipelihara kerajaan.
“Sebab 225,000 peneroka Felda dan generasi Felda daripada generasi pertama hingga kelima sekarang ini berjumlah tidak kurang daripada 1.8 juta orang yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung, mesti kita santuni agar kepentingan mereka yang menjadi warga Felda ini dapat terus dipertahankan sewajarnya oleh pihak kerajaan,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, tindakan terhadap mana-mana individu perlu dibuat berdasarkan bukti kukuh dan proses yang adil, bukannya didorong niat untuk membalas dendam atau mengaibkan pihak tertentu.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan siasatan terhadap Felda benar-benar menjurus kepada usaha mendapatkan kebenaran serta mempertahankan kepentingan peneroka dan generasi Felda.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berkata beliau akan menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan Felda sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Beliau berkata pasukan petugas khas berkenaan telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, media melaporkan laporan Pasukan Petugas Khas berkaitan Felda dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum didedahkan kepada umum.
Berita berkaitan
August 23, 2026, 9:57 pm
Baru kehilangan anak Februari lalu, suami Amyza Aznan kini kritikal dan ditidurkan
August 23, 2026, 9:28 pm
Lebih 10 tahun dalami Islam, ADUN Pitas bersama isteri dan anak akhirnya peluk Islam
August 23, 2026, 9:21 pm
Hilang ketika program tahfiz, kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas dalam kolam
August 23, 2026, 6:36 pm
Anwar lulus tambahan RM1 juta untuk bina krematorium Hindu moden di Bagan
August 23, 2026, 12:45 pm
15 jam bertarung nyawa, anggota APM Temerloh meninggal dunia dipatuk kobra ketika demonstrasi
August 23, 2026, 11:00 am
Polis buru geng motosikal tutup laluan Lebuhraya Linkedua untuk lumba haram di Kulai
August 22, 2026, 8:32 pm
