TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hilang ketika program tahfiz, kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas dalam kolam

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 23 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang ketika menyertai sebuah program tahfiz ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kolam air berhampiran sebuah pusat yayasan di Kampung Kapal, Lenggeng, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada jam 12.28 pagi sebelum operasi pencarian dijalankan dengan kerjasama pihak berkaitan di sekitar lokasi kejadian.

"Mangsa ditemukan dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah dan bantuan pernafasan diberikan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Lenggeng," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan bagi menentukan kronologi serta keadaan sebenar kejadian termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kecuaian atau faktor lain yang berkaitan," katanya.

Johari berkata, klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan keseluruhan hasil siasatan dan laporan bedah siasat.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan selain menghormati privasi keluarga mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset