Berita Berita
Anwar lulus tambahan RM1 juta untuk bina krematorium Hindu moden di Bagan
BUTTERWORTH 23 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) bagi membiayai projek pembinaan krematorium Hindu moden di Bagan, di sini.
Pengerusi LWHPP, RSN Rayer berkata, tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan meningkat kepada RM2.5 juta berbanding RM1.5 juta yang diluluskan Anwar sebelum ini.
Menurutnya, peruntukan asal didapati tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan krematorium elektrik moden kedua di Pulau Pinang selepas kemudahan sedia ada di Batu Lanchang.
Beliau berkata, kemudahan baharu itu amat diperlukan masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai.
“Kelulusan tambahan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri, dalam memastikan keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama diberikan perhatian secara adil,” katanya pada sidang media di tapak projek berkenaan di Jalan Siram di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Kumaran Krishnan.
Sementara itu, Kumaran berkata, kemudahan krematorium berkenaan penting bagi menyediakan tempat yang lebih teratur, sesuai dan selesa untuk masyarakat Hindu melaksanakan upacara terakhir mengikut adat serta kepercayaan agama mereka.
Katanya, kewujudan kemudahan itu juga dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat Hindu di Seberang Perai terhadap kemudahan krematorium yang terletak lebih jauh.
“Ini merupakan satu kemudahan jangka panjang untuk manfaat masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai dan kawasan sekitar,” katanya.
Kumaran berkata, kelulusan peruntukan tambahan itu diperoleh hasil permohonan dan usaha bersama dengan Lim dan Rayer yang telah mengutus surat kepada Anwar bagi memohon tambahan peruntukan supaya projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Beliau berkata, proses tender bagi pembinaan krematorium berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi itu telah dibuka dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.
Menurutnya, kemudahan tersebut dijangka dapat digunakan masyarakat sebaik sahaja projek berkenaan siap.
– BERNAMA
Berita berkaitan
August 23, 2026, 9:57 pm
Baru kehilangan anak Februari lalu, suami Amyza Aznan kini kritikal dan ditidurkan
August 23, 2026, 9:28 pm
Lebih 10 tahun dalami Islam, ADUN Pitas bersama isteri dan anak akhirnya peluk Islam
August 23, 2026, 9:21 pm
Hilang ketika program tahfiz, kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas dalam kolam
August 23, 2026, 12:45 pm
15 jam bertarung nyawa, anggota APM Temerloh meninggal dunia dipatuk kobra ketika demonstrasi
August 23, 2026, 11:00 am
Polis buru geng motosikal tutup laluan Lebuhraya Linkedua untuk lumba haram di Kulai
August 22, 2026, 8:32 pm
