TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Apabila anak bersuara, mesti ada yang dengar dan bertindak’ – Fadhlina tekankan sekolah selamat bukan sekadar pagar berkunci

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Keselamatan murid kini perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek fizikal seperti bangunan, pengawal keselamatan serta pintu pagar sekolah, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, cabaran keselamatan yang dihadapi murid kini turut melibatkan perkara yang berlaku di dalam kelas, hubungan persahabatan serta penggunaan telefon dan media sosial yang kesannya boleh dibawa ke persekitaran sekolah.

“Dulu apabila kita bercakap tentang sekolah yang selamat, kita mungkin terbayangkan bangunan yang selamat, pengawal keselamatan dan pintu pagar yang dikunci.

“Hari ini keselamatan anak-anak jauh lebih kompleks daripada itu.

“Ada perkara yang berlaku di dalam kelas. Ada yang berlaku dalam persahabatan. Ada yang bermula di telefon dan media sosial. Tetapi kesannya dibawa hingga ke sekolah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Fadhlina berkata, perubahan cabaran itu menuntut pendekatan baharu dalam usaha melindungi murid, termasuk memastikan suara mereka sendiri diberikan perhatian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Gallery Walk Makmal Kesejahteraan dan Keselamatan Murid bagi melihat sendiri pelbagai idea serta inisiatif yang sedang dibangunkan untuk memperkukuh ekosistem keselamatan sekolah.

“Dalam segala perbincangan tentang prosedur dan intervensi, suara anak-anak sendiri tidak boleh kita tinggalkan.

“Kerana merekalah yang melalui pengalaman itu,” katanya.

Menurutnya, murid perlu mengetahui saluran yang boleh digunakan apabila berdepan masalah, individu yang boleh dipercayai untuk mendapatkan bantuan serta yakin bahawa setiap aduan mereka akan didengar dan diambil tindakan.

“Kita mahu anak-anak tahu ke mana mereka boleh pergi apabila ada masalah, siapa yang boleh mereka percaya dan yang paling penting, apabila mereka bersuara, ada orang yang mendengar dan bertindak,” katanya.

Fadhlina berkata, usaha memperkukuh keselamatan sekolah tidak boleh dipikul Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama guru, ibu bapa, komuniti serta agensi berkaitan.

Antara inisiatif yang sedang digerakkan ialah NADI Selamat Daerah dan Pasukan Sekolah Selamat, JOM LAPOR, SafeED MicroCredentials, KPM INFLOW @ DELIMa serta Safe School Superheroes.

“Sekolah yang selamat bukan bermaksud sekolah yang tidak pernah berdepan masalah.

“Sekolah yang selamat ialah sekolah yang tidak membiarkan seorang anak menghadapi masalahnya sendirian.

“Itulah ekosistem yang sedang kita bina,” katanya.

+ - reset