TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu PTPTN, keluarga turut jadi sasaran kecaman, Adam Adli akui kritikan ‘sakit’ untuk ditanggung

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Isu pendirian terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta serangan peribadi di media sosial antara perkara yang menguji Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim selepas memegang jawatan dalam kerajaan.

Adam Adli berkata, beliau tidak melihat kritikan dan kecaman yang diterimanya sebagai alasan untuk kerajaan menghentikan usaha melakukan reformasi dalam sektor pendidikan, termasuk berkaitan PTPTN dan pendidikan percuma.

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan perubahan berdasarkan perkara yang diyakini benar dan perlu diselesaikan, bukannya semata-mata bagi memuaskan hati pihak yang mengkritik.

“Jangan kita bekerja ataupun berusaha sekarang untuk lebih banyak perubahan dan pembaikan reform yang kita sedang buat ini kerana kita hanya nak memuaskan hati orang yang mengkritik.

“Sebabnya kita ada kesedaran betul yang kita tahu ini betul, ini isu, masalah ini isu yang perlu diselesaikan.

“Kita boleh jawab, kita boleh bagi fakta, tapi kadang-kadang kita tak boleh nak ubah persepsi ataupun presumption orang,” katanya dalam OMM Podcast.

Adam Adli berkata, pendirian kerajaan dalam isu pendidikan percuma pula dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan negara dan bukan sekadar dijadikan janji politik.

Katanya, usaha itu perlu diteruskan dengan mengambil kira keperluan kerajaan mengurangkan defisit dan hutang serta memastikan disiplin fiskal negara terus terpelihara.

Dalam isu PTPTN, Adam Adli sebelum ini turut menegaskan beliau tidak pernah mengubah pendirian, sebaliknya perjuangannya diteruskan menerusi pendekatan yang mengambil kira kemampuan peminjam.

Beliau berkata, antara perkara yang diperjuangkannya ialah pembayaran balik pinjaman berdasarkan tahap pendapatan peminjam serta pendekatan lebih bersasar terhadap sekatan perjalanan bagi peminjam yang mempunyai kemampuan membayar. (Utusantv)

Adam Adli berkata, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara memastikan PTPTN dapat mengutip semula pinjaman dengan keperluan menjaga kebajikan dan hak peminjam.

Beliau sebelum ini menjelaskan terdapat dua perkara utama yang perlu diuruskan PTPTN, iaitu hutang pelajar dan hutang PTPTN itu sendiri, selain memastikan kutipan balik pinjaman kekal sihat tanpa menghakis nilai kemanusiaan dan ihsan terhadap peminjam. (Utusantv)

Sementara itu, Adam Adli mengakui serangan peribadi yang diterimanya di media sosial turut melibatkan keluarganya, malah perkara itu antara perkara yang paling dikesalinya.

Beliau berkata, keluarganya pernah menjadi sasaran kecaman selepas beliau memuat naik gambar bersama keluarga sempena sambutan Hari Raya.

“Hari Raya dulu saya post gambar family. Teruk saya kena belasah dekat TikTok tanpa sebab.

“Saya boleh jawab, tapi saya pilih akhirnya tak apalah, tak jawablah. Kesianlah dekat keluarga. Bila tengok, ‘Papa, kenapa gambar ni?’ Gambar anak-anak, tak pasal-pasal kena maki,” katanya.

Menurutnya, beliau memilih untuk tidak membalas kecaman berkenaan kerana tidak mahu keluarganya terus terheret dalam polemik politik dan tugasnya sebagai pemegang jawatan awam.

Adam Adli berkata, seseorang yang memilih untuk berada dalam public office perlu bersedia menerima kritikan dan kemarahan masyarakat, termasuk perkara yang kadangkala menyentuh kehidupan peribadi.

“Kalau anda berada di public office, diberi peranan dan tanggungjawab, saya fikir ia sebahagian daripada kerja untuk menanggung kemarahan.

“Menerima, mendengar, sakit, sakitlah. Memang siapa kata tak sakit? Ahli keluarga pun sama mesti tanggung.

“Tapi itu terkilan sikit. Kesian, isteri dan anak-anak pun macam tak semenda-menda, ‘Kenapa orang ini mencarut dekat gambar kita?’ Tapi benda itu mungkin dah tak dapat dielak,” luahnya.

Beliau berkata, kebebasan peribadi adalah antara perkara yang terpaksa dikorbankan apabila seseorang memilih untuk memperjuangkan kepentingan awam melalui jawatan politik.

“Kalau you nak perjuangkan kebebasan awam, kebebasan untuk masyarakat awam, kebebasan peribadi kamu dah tak ada. Kamu sudah tidak lagi bebas menentukan kehidupan sendiri.

“Itu yang kita dah faham daripada dulu. Jadi tak adalah berlaku, kecuali kalau tahap yang terlalu teruk. Pada ketika ini, saya rasa tahanlah, tanggunglah.

“Mungkin satu hari nanti, lima tahun, 10 tahun daripada sekarang, kita tengok balik dan cakap, ‘Okey, some regret, but we have done our best,’” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan pendidikan tinggi, Adam Adli turut berpandangan reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut memberi kebebasan kepada mahasiswa berpolitik.

Sebaliknya, katanya, perubahan itu perlu disusuli usaha memperkukuh autonomi universiti dan peranan mahasiswa.

Beliau berkata, pindaan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu sudah membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk bersuara dan terlibat dalam politik, termasuk membawa identiti parti masing-masing dalam kampus.

“Di dalam kalau kita tengok sekarang pun dah tak ada halangan. Masing-masing dah boleh bawa bendera parti masing-masing.

“Kita ada Mahasiswa Keadilan, kita ada UMNO Siswa. Dulu PAS dia guna GAMIS, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia. Sekarang kalau tak silap saya ada juga dia buat Siswa PAS atau apa untuk lebih nampak dan sebagainya.

“Semua ada kebenaran ataupun semua dah diberi ruang tersebut,” katanya.

Adam Adli berkata, universiti sepatutnya menjadi ruang kepada mahasiswa dan pensyarah mengemukakan pandangan serta kritikan akademik tanpa sekatan, selagi ia tidak berubah menjadi serangan peribadi.

“Sejarahnya bukan soal membenarkan pelajar untuk berpolitik sahaja. Ia soal bagaimana kita menjadikan universiti bukan tempat di mana suara disekat ataupun pendapat tak boleh dibincang.

“Apa lagi kalau pendapat dan suara tersebut datang dengan niat akademik oleh pensyarah, oleh pelajar dan sebagainya. Apa salah kalau pendapat tersebut adalah satu kritikan? Tak ada masalah.

“Selagi mana ianya bukan soal menyerang satu-satu individu dengan tujuan buruk,” ujarnya.

Beliau berkata, reformasi institusi pengajian tinggi juga perlu merangkumi usaha memperkukuh kesatuan pelajar, termasuk mengembalikan model student union yang pernah berfungsi di negara ini sebelum pengenalan AUKU.

Menurutnya, beberapa universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini mempunyai kesatuan pelajar, namun pelaksanaannya masih belum menyeluruh.

Dalam masa sama, Adam Adli mengakui masih wujud kecelaruan antara usaha memberikan autonomi kepada universiti dengan kecenderungan membawa kembali isu mahasiswa kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, walaupun KPT sedang memperluas autonomi universiti dalam aspek akademik, pengurusan dan kewangan, isu mahasiswa masih kerap dirujuk kepada kementerian untuk diselesaikan.

“Pemerhatian saya adalah akhirnya bila ada isu-isu pelajar, daripada kecil sampai ke besar, akhirnya akan dibawa balik ke KPT.

“Sedangkan ideanya adalah you bawa pada universiti sendiri dan universiti pula sepatutnya tidak bergantung kepada KPT untuk dictate you nak buat apa.

“Kalau dah dibawa isu-isu ini kepada KPT, kami di KPT pun tak nak kalau kita pula yang dictate universiti, ‘you jangan ni, jangan tu, betulkan ni’. Jadi kat mana autonomi universiti itu sendiri?,” ujarnya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, perubahan budaya dalam pentadbiran universiti memerlukan masa kerana pendekatan lama sudah berakar sejak sekian lama.

Mengenai keberanian mahasiswa bersuara pula, beliau berkata media sosial kini menjadi antara kekuatan utama mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan isu semasa.

“Kekuatan mahasiswa sekarang adalah media sosial. Mereka kena memaksimumkan lagi yang itu.

“Bagus bagi saya, kita pun tak boleh buta dengan peredaran zaman. Kita pun tak boleh pekakkan telinga dengan apa yang tengah berlaku keliling kita.

“Kita pandang dan kita tahu depan mata kita berlaku semua benda. Kalau isu-isu tak selesai, saya tak boleh salahkan kalau ada yang nak kritik, ada yang nak ingatkan,” katanya.

+ - reset