Berita Berita
'Kalau dulu nak dapat satu pun susah' - Sistem eCOSS 'menjadi', pengguna akui kini lebih mudah beli minyak paket di pasaran
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pelaksanaan sistem eCOSS bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi didakwa mula memberi perubahan positif apabila sebahagian pengguna mendakwa bekalan berkenaan kini lebih mudah diperoleh berbanding sebelum ini.
Perkembangan itu dikongsikan pengguna di media sosial yang sebelum ini sering berdepan kesukaran mendapatkan minyak masak paket bersubsidi.
Seorang pengguna Facebook, Norza Syajheha Zamri, berkongsi pengalamannya yang mendakwa keadaan kini jauh berbeza selepas sistem berkenaan diperkenalkan.
“Kalau dulu susah betul aku nak dapat minyak masak ni. Sekarang ni pergi mana-mana pun, insya-Allah pasti ada je stok minyak masak ni,” tulisnya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan terhadap pelaksanaan sistem berkenaan yang disifatkan memudahkan rakyat mendapatkan barangan bersubsidi.
Perkongsian itu kemudian menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Sebahagian netizen menyokong pelaksanaan eCOSS kerana berpendapat sistem berkenaan membantu mengawal pembelian minyak masak bersubsidi selain mengurangkan kemungkinan barangan itu dibeli secara berlebihan oleh pihak yang tidak layak.
Seorang pengguna turut berkongsi pengalaman bapanya yang berusia 75 tahun masih mampu menggunakan sistem berkenaan.
Menurutnya, juruwang turut membantu golongan warga emas yang kurang mahir menggunakan teknologi ketika membuat pembelian.
Bagaimanapun, terdapat juga pengguna yang membangkitkan cabaran pelaksanaan sistem berkenaan, khususnya membabitkan warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar atau kurang mahir mengendalikan teknologi.
Dalam masa sama, beberapa pengguna lain mendakwa keadaan bekalan minyak masak paket kini semakin baik sejak sistem eCOSS diperkenalkan.
Malah, mereka mendakwa tidak lagi perlu berulang-alik dari satu kedai ke satu kedai semata-mata untuk mencari minyak masak paket seperti sebelum ini.
Jika sebelum ini pengguna mendakwa hanya menemui kotak kosong ketika mencari minyak masak paket di kedai, kini terdapat dakwaan bahawa bekalan lebih mudah ditemui.
Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk awal bahawa sistem berkenaan berpotensi membantu memastikan subsidi minyak masak benar-benar dinikmati golongan yang layak, selain memastikan bekalan lebih terkawal di pasaran.
Berita berkaitan
August 24, 2026, 10:05 am
Ahmad Fadhli sindir lelongan gambar pemimpin PH cecah RM500,000 susulan isu tongkat Hadi
August 24, 2026, 9:47 am
Tongkat Abdul Hadi dilelong RM16,500 rai dana jentera pilihan raya Pas
August 24, 2026, 9:14 am
Dr Solehah Yaacob cabar penamatan perkhidmatan oleh UIAM di Mahkamah Perusahaan
August 24, 2026, 8:43 am
Isu PTPTN, keluarga turut jadi sasaran kecaman, Adam Adli akui kritikan ‘sakit’ untuk ditanggung
August 23, 2026, 9:57 pm
Baru kehilangan anak Februari lalu, suami Amyza Aznan kini kritikal dan ditidurkan
August 23, 2026, 9:28 pm
