TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Penguatkuasaan perlu adil, tanpa diskriminasi' - DAPSY Perlis tuntut penjelasan berhubung perobohan Kuil Veeramakaliamman

By
|
Kongsi
image

 

KANGAR 24 Ogos - Kerajaan Perlis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memberikan penjelasan terperinci berhubung insiden perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini pada 20 Ogos lalu.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perlis, Danial Suhaimi berkata, penjelasan itu perlu merangkumi status tanah, kelulusan, notis pengosongan serta proses penguatkuasaan yang membawa kepada perobohan kuil berkenaan.

Menurutnya, ketelusan penting bagi memastikan masyarakat mendapat gambaran sebenar mengenai isu itu dan tidak bergantung kepada spekulasi atau maklumat yang tidak disahkan.

"Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, setiap pihak perlu menghormati proses dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Pada masa sama, penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara adil, telus, konsisten dan tanpa diskriminasi, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Danial berkata, sekiranya terdapat isu berkaitan status tanah, kelulusan pembinaan atau ketidakpatuhan syarat, perkara berkenaan perlu diselesaikan menerusi saluran pentadbiran dan undang-undang yang sewajarnya.

Katanya, pihak berkepentingan juga perlu diberikan ruang untuk mendapatkan penjelasan serta menyelesaikan kemelut itu secara baik.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan isu berkenaan sebagai medium untuk mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.

"Apa jua perbezaan pandangan perlu disuarakan secara matang, bertanggungjawab dan berada di dalam kerangka undang-undang.

"Kita mungkin berbeza dari segi agama, kaum dan pandangan politik, namun kita berkongsi satu negeri dan satu tanggungjawab untuk memastikan keamanan, keharmonian serta perpaduan masyarakat Perlis terus terpelihara," katanya.

+ - reset