TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

17 kawasan di enam negeri, termasuk KL catat IPU tidak sihat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kualiti udara di beberapa kawasan di negara ini semakin membimbangkan apabila 17 kawasan di enam negeri dan dua Wilayah Persekutuan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Sarawak merekodkan tiga kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat, dengan Sri Aman mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 167.

Ia diikuti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dengan bacaan 166 dan Samarahan (162).

Di Selangor pula, lima kawasan mencatatkan bacaan melebihi 100, masing-masing Johan Setia dan Shah Alam dengan IPU 158, Klang (151), Banting (144) serta Petaling Jaya (123).

Sementara itu, dua kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Cheras (159) dan Batu Muda (152).

Bagi Negeri Sembilan, Nilai mencatatkan IPU 162 manakala Seremban merekodkan 158.

Lima kawasan lain yang turut berada pada tahap tidak sihat ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya (159), Tangkak, Johor (153), Bukit Rambai (143) dan Alor Gajah (128) di Melaka serta Taiping, Perak (108).

Dalam pada itu, sebanyak 49 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala dua kawasan mencatatkan bacaan baik.

Tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pagi ini.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan rekod daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

 

+ - reset