TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Selangor ingatkan pemimpin, ahli politik elak guna perbezaan pecah belahkan rakyat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan barisan pemimpin dan ahli politik supaya tidak menggunakan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat di negara ini.

Baginda bertitah, walaupun pengibaran ribuan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan mudah dilaksanakan, cabaran terbesar yang perlu dihadapi adalah membina sebuah negara dengan setiap warganya merasa dihormati, diterima serta bangga menjadi rakyat Malaysia.

"Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada keupayaan kita mempertahankan sebuah negara di mana rakyatnya dapat hidup bersama dalam keadaan aman, saling menghormati dan bersatu padu.

"Pemimpin dan ahli politik sepatutnya menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan kasih sayang, bukannya menggunakan perbezaan politik, kaum atau agama untuk memecahbelahkan rakyat," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa Jalur Gemilang tidak pernah membezakan latar belakang etnik mahupun pegangan agama, sebaliknya menjadi simbol penyatuan yang dimiliki oleh seluruh warga Malaysia.

Baginda menggesa agar generasi muda terus dididik untuk menghormati kepelbagaian budaya dan agama, selain memaklumkan perkenan baginda agar Jalur Gemilang dikibarkan di tiang bendera negeri di Dataran Selangor bermula 26 Ogos hingga 17 September ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.

+ - reset