Berita Berita
'Jangan lupakan kami' - Puluhan ribu Rohingya tuntut keadilan, mahu kehidupan bermaruah
COX’S BAZAR 26 Ogos - Puluhan ribu pelarian Rohingya berhimpun di beberapa kem pelarian di Bangladesh semalam, menuntut keadilan, kehidupan bermaruah dan perhatian lebih serius masyarakat antarabangsa ketika krisis kemanusiaan yang dihadapi mereka semakin meruncing.
Perhimpunan itu diadakan sempena ulang tahun kesembilan penghijrahan besar-besaran etnik Rohingya dari Myanmar susulan tindakan keras tentera negara berkenaan pada 2017.
United Council of Rohingya berkata, perhimpunan berkenaan turut bertujuan memperingati kekejaman terhadap komuniti Rohingya selain menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan yang masih belum berakhir.
Lebih 1.2 juta etnik Rohingya kini tinggal di kira-kira 30 kem di Cox’s Bazar, yang merupakan penempatan pelarian terbesar di dunia.
Sebahagian besar daripada mereka melarikan diri daripada operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 yang menyaksikan kampung Rohingya dibakar dan orang awam terbunuh.
Kehidupan di kem berkenaan kini semakin sukar berikutan pengurangan dana kemanusiaan, bekalan makanan yang terhad serta pemotongan beberapa perkhidmatan penting.
Pertubuhan bantuan Oxfam memberi amaran bahawa penyusutan sumber kemanusiaan boleh menjejaskan kemajuan yang dicapai di Cox’s Bazar, ketika perkhidmatan asas sedia ada sudah berdepan tekanan hebat.
Wartawan Al Jazeera, Tanvir Chowdhury yang membuat liputan dari Cox’s Bazar berkata, pelarian Rohingya mahu masyarakat antarabangsa memberikan perhatian terhadap tuntutan mereka.
“Mereka mahukan keadilan, maruah dan peluang untuk pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Save the Children menganggarkan seorang daripada setiap tiga pelarian Rohingya berdepan tahap kelaparan kategori ‘krisis’ atau lebih buruk antara September hingga Disember.
Pihak berkuasa Bangladesh pula memaklumkan kemampuan negara itu untuk menampung pelarian semakin terbeban dan menggesa supaya komuniti Rohingya dapat kembali ke tanah air secara bermaruah.
Bagaimanapun, 16 misi diplomatik di Bangladesh termasuk Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom dan Kanada dalam kenyataan bersama menegaskan keadaan semasa di Myanmar masih belum memungkinkan penghantaran pulang pelarian secara selamat.
Menurut kenyataan itu, konflik di Rakhine semakin memuncak, manakala serangan udara terhadap infrastruktur awam serta sekatan bantuan dan perdagangan oleh pihak berkuasa Myanmar terus memburukkan krisis kemanusiaan.
“Pelarian Rohingya mempunyai hak untuk kembali ke kediaman mereka di Myanmar,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa perhatian dan tindakan global diperbaharui bagi menangani nasib komuniti Rohingya.
Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, komuniti Rohingya di Myanmar, Bangladesh dan seluruh rantau kini berdepan ketidakamanan yang semakin serius, perlindungan semakin mengecil serta prospek penyelesaian jangka panjang yang kian suram.
Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi oleh pemotongan dana yang menjejaskan bantuan penting untuk menyelamatkan nyawa.
Tindakan keras tentera Myanmar pada 2017 kini menjadi subjek kes genosid yang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
- Agensi
Berita berkaitan
August 26, 2026, 12:31 pm
Perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua: Joki, dua penonton ditahan di Sentul
August 26, 2026, 12:25 pm
Pemandu BMW maut, dua cedera kemalangan babit tiga kereta di Perai
August 26, 2026, 12:03 pm
Sultan Selangor ingatkan pemimpin, ahli politik elak guna perbezaan pecah belahkan rakyat
August 26, 2026, 11:53 am
'Orang Melayu terancam sebab mereka miskin, terlibat dadah, bukan sebab kaum lain' - Saifuddin
August 26, 2026, 11:34 am
Bapa dan anak maut ditemukan berpelukan dalam rumah terbakar di Kuala Nerus
August 26, 2026, 11:20 am
Pergerakan di ICQS Rantau Panjang merosot susulan insiden keganasan Selatan Thailand
August 26, 2026, 11:15 am
Lelaki dicekup disyaki curi tabung tiga masjid di Pasir Mas
August 26, 2026, 11:07 am
KJ fail tindakan sivil tuntut MYNIC dedah identiti pemilik portal berita
August 26, 2026, 10:39 am
