TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pergerakan di ICQS Rantau Panjang merosot susulan insiden keganasan Selatan Thailand

By
|
Kongsi
image

PASIR MAS, 26 Ogos – Jumlah pergerakan keluar dan masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mencatatkan penurunan susulan siri letupan bom, tembakan serta pembakaran bangunan di tiga wilayah selatan Thailand sejak Sabtu lalu.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah memaklumkan sebanyak 3,298 pergerakan masuk ke Malaysia direkodkan sejak Sabtu hingga semalam, berbanding 2,969 pergerakan keluar.

Beliau berkata, pergerakan kenderaan yang masuk ke negara ini merosot daripada 2,068 pada Sabtu kepada 1,230 pergerakan semalam dan kelmarin, manakala kenderaan keluar berkurangan daripada 1,696 kepada 1,273 bagi tempoh sama.

"Penurunan pergerakan ini dipercayai berpunca daripada kebimbangan awam terhadap insiden keganasan terancang yang melanda 51 lokasi di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala," katanya.

Tinjauan mendapati kawasan ICQS Rantau Panjang yang kebiasaannya sesak dengan jumlah keluar masuk melebihi 5,000 orang pada hujung minggu atau cuti umum kini bertukar lengang, berikutan sebahagian rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke negara jiran berikutan pelaksanaan perintah berkurung di Narathiwat.

+ - reset