TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bapa dan anak maut ditemukan berpelukan dalam rumah terbakar di Kuala Nerus

By
|
Kongsi
image

KUALA NERUS 26 Ogos - Tragedi kebakaran rumah di Kampung Tok Jembal, di sini, awal pagi tadi berakhir pilu apabila dua beranak ditemukan maut dalam keadaan berpelukan di tingkat atas kediaman dua tingkat berkenaan.

Ipar mangsa, Nik Mohd Zaim Nik Abdul Rahim, 36, berkata ibu mentuanya, Maimunah Muda, 67, yang tidur di tingkat bawah berjaya diselamatkan oleh menantunya yang tinggal di rumah bersebelahan.

Katanya, iparnya, Amirulfahmi Wan Jusoh, 40, yang juga anak keempat daripada lapan beradik, bekerja sebagai jurufoto dan videografi di sebuah restoran di Kuala Terengganu.

"Amirulfahmi yang mesra dipanggil Uda pulang ke rumah ibunya bersama anaknya, Rehan Yusuf, 9, semalam.

"Sebelum itu, dia berada di rumah mentuanya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu untuk melihat isterinya, Nur Izzah Ahmad berusia lingkungan 30-an yang baru selesai berpantang.

"Dia dan anak lelakinya kemudian pulang ke rumah ibu dan mereka dikatakan sedang dalam proses untuk berpindah ke sini bagi menjaga ibu yang kurang sihat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian, Wan Azri Wan Awang, 46, berkata dia bergegas ke rumah berkenaan selepas terdengar jeritan isterinya yang memaklumkan berlaku kebakaran.

"Ketika itu isteri saya menjerit memberitahu rumah terbakar. Saya terus keluar dan berlari ke situ. Ketika saya sampai, sudah ada dua orang penduduk kampung di situ.

"Kami cuba memanggil penghuni rumah supaya keluar dan mengetuk pintu rumah utama yang terbakar, tetapi tiada jawapan.

"Kami terpaksa terajang pintu kerana terkunci dari dalam sebelum salah seorang anak penghuni rumah yang tinggal bersebelahan rumah masuk untuk mengambil motosikal dan menarik wanita berkenaan keluar," katanya.

Menurutnya, mereka kemudian dimaklumkan masih ada dua lagi anak serta cucu berada di tingkat atas rumah.

"Kami panggil berkali-kali tetapi tiada jawapan. Pada masa sama, api semakin marak dan mula keluar dari rumah.

"Api ketika itu belum terlalu besar, tetapi cepat merebak. Kami hanya mampu berusaha memanggil penghuni supaya keluar.

"Mak mereka berada di bahagian bawah, manakala anak dan cucu berada di tingkat atas," katanya yang tinggal kira-kira 40 hingga 50 meter dari rumah mangsa.

Wan Azri berkata, dia tidak mendengar sebarang bunyi pelik sebelum menyedari rumah berkenaan terbakar.

"Saya tidak dengar bunyi apa-apa sebelum itu. Semuanya berlaku dalam keadaan kelam-kabut dan saya ada terdengar bunyi letupan seperti atap terbakar," katanya.

+ - reset