Berita Berita
'Lepas ni boleh panggil DAP bagi ceramah dekat orang Islam jangan main judi' - Sanusi sindir Ramkarpal
ALOR SETAR 26 Ogos – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyindir Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh dengan menyatakan kesediaan menjemput pemimpin itu memberi ceramah kepada umat Islam mengenai larangan berjudi.
Sindiran itu dibuat susulan gesaan Ramkarpal supaya Sanusi memberi tumpuan kepada usaha menghalang umat Islam daripada berjudi, berbanding mencari jalan untuk mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Sanusi menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk mengharamkan perjudian di Kedah tidak akan berubah.
“Sudah ada orang pun bagi peringatan kepada kita daripada DAP, jangan cari jalan (haramkan judi di Kedah).
“Betul, (nanti) panggil dia ceramah lepas ini. DAP ceramah dekat orang Islam jangan main judi,” katanya ketika berucap dalam sesi penjelasan isu ‘halangan pengharaman judi haram di Kedah’ anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA).
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk membatalkan keputusan yang menghalang pentadbiran negeri daripada enggan memperbaharui lesen pengendali pertaruhan dan loteri.
Sanusi berkata, keputusan sama ada aktiviti perjudian boleh diteruskan di Kedah atau sebaliknya kini bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Menurutnya, sekiranya Anwar membenarkan aktiviti perjudian beroperasi di negeri itu, keputusan berkenaan berkemungkinan mengundang kemarahan rakyat Kedah.
“Maka bola berada di tangan menteri kewangan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud mendakwa tindakan sama seperti yang berlaku di Kedah kini cuba dicabar di Perlis.
Beliau mendakwa sekumpulan pihak telah memfailkan permohonan untuk mencabar arahan kerajaan negeri Perlis bagi menghentikan dan menutup premis perjudian.
“Apa yang dilalui oleh Kedah barangkali akan berjangkit selepas ini ke Perlis. Ini kerana saya dimaklumkan di Perlis, kumpulan judi ini sudah fail kes yang baru.
“Nak cabar macam di Kedah dan mereka akan pergi serang kepada negeri lain,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah pada Jun lalu menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan dasar membasmi aktiviti perjudian dengan mengekalkan penutupan operasi kedai judi.
Dasar itu diteruskan daripada pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli daripada PAS.
Perlis sebelum ini menutup premis perjudian secara berperingkat, termasuk cawangan nombor ramalan terakhir di Padang Besar yang ditutup pada awal Mac lalu.
Berita berkaitan
August 26, 2026, 2:39 pm
Jerebu: Jemaah masjid, surau di Selangor dinasihat pakai pelitup muka
August 26, 2026, 2:25 pm
Kedah patut fokus isu dadah dan ketum, bukan politikan judi berlesen - Dr Faiz
August 26, 2026, 2:13 pm
Isu judi Kedah: Sanusi berseloroh jemput Ramkarpal ceramah kepada umat Islam
August 26, 2026, 12:31 pm
Perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua: Joki, dua penonton ditahan di Sentul
August 26, 2026, 12:30 pm
'Jangan lupakan kami' - Puluhan ribu Rohingya tuntut keadilan, mahu kehidupan bermaruah
August 26, 2026, 12:25 pm
Pemandu BMW maut, dua cedera kemalangan babit tiga kereta di Perai
August 26, 2026, 12:03 pm
Sultan Selangor ingatkan pemimpin, ahli politik elak guna perbezaan pecah belahkan rakyat
August 26, 2026, 11:53 am
