TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu judi Kedah: Sanusi berseloroh jemput Ramkarpal ceramah kepada umat Islam

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR, 26 Ogos – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara berseloroh menyambut baik pandangan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan berhasrat menjemput beliau menyampaikan ceramah kepada umat Islam di negeri ini agar tidak berjudi.

Reaksi itu diberikan susulan kenyataan Ramkarpal yang menggesa Kerajaan Negeri Kedah akur kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dan menumpukan usaha mendidik umat Islam supaya menjauhi aktiviti perjudian.

"Ramkarpal kata dakwah kepada orang Islam jangan main judi. Saya kata betul juga, lepas ini kita panggil beliau atau wakil DAP bagi ceramah kepada orang Islam," katanya pada program Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah di Dewan Seri Mentaloon, malam tadi.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa permohonan kebenaran merayu yang ditolak Mahkamah Persekutuan tidak meletakkan noktah kepada usaha kerajaan negeri menyekat aktiviti perjudian, sebaliknya ia akan diteruskan mengikut lunas undang-undang lain.

Beliau turut menambah bahawa keputusan kelulusan serta pembaharuan lesen premis perjudian di Kedah kini terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran serta pembaharuan lesen perniagaan nombor ramalan di negeri berkenaan.

+ - reset