Berita Berita
Selepas judi, PAS nak haramkan arak, babi dan anjing pula? – Chong Zhemin minta Sanusi hormat kehidupan orang bukan Islam
KAMPAR 26 Ogos – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mempersoalkan sama ada PAS akan menggunakan kuasa kerajaan untuk menutup premis arak, mengharamkan penjualan daging babi, mengehadkan pemilikan anjing dan melarang amalan sah lain yang dikaitkan dengan kehidupan masyarakat bukan Islam sekiranya parti itu berkuasa di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, sindiran Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh yang menawarkan untuk menjemputnya memberi ceramah kepada umat Islam mengenai larangan berjudi merupakan pengalihan daripada persoalan perlembagaan yang masih belum dijawab.
“Sanusi perlu menjawab, selepas perjudian, adakah PAS akan menutup premis arak, mengharamkan penjualan daging babi, mengehadkan pemilikan anjing dan melarang amalan sah lain yang dikaitkan dengan cara hidup masyarakat bukan Islam?” katanya dalam kenyataan media di Kampar hari ini.
Chong berkata, Ramkarpal tidak pernah meminta umat Islam berjudi, sebaliknya meminta kerajaan Kedah menghormati keputusan mahkamah serta memberi tumpuan kepada usaha mencegah umat Islam daripada berjudi melalui pendidikan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, syarat pelesenan Persekutuan bagi premis loteri berkenaan sudah melarang umat Islam dan individu berusia bawah 21 tahun daripada memasukinya.
Katanya, sekiranya Sanusi berpendapat penguatkuasaan tidak mencukupi, beliau sepatutnya memperkukuh penguatkuasaan, memberi pendidikan kepada umat Islam serta mengambil tindakan tegas terhadap sindiket perjudian haram.
“Beliau tidak sepatutnya menggunakan kegagalan penguatkuasaan sebagai alasan untuk menafikan pilihan yang sah kepada bukan Islam,” katanya.
Menurut Chong, kes mahkamah berkenaan bukan berkaitan persoalan sama ada perjudian sesuatu yang baik dari sudut moral, sebaliknya menyentuh persoalan sama ada Kedah mempunyai kuasa melalui pelesenan pihak berkuasa tempatan untuk mengenakan larangan di seluruh negeri terhadap aktiviti yang dikawal Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Kedah telah melampaui kuasa perlembagaannya, manakala Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak permohonan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan berkenaan.
“Sanusi kalah dalam hujah perlembagaan. Tindak balasnya kini adalah menggantikan hujah perundangan dengan sindiran dan menggambarkan sesiapa yang mempertahankan batas perlembagaan sebagai menyokong perjudian. Itu adalah politik yang tidak jujur,” katanya.
Chong berkata, isu berkenaan bukan semata-mata mengenai perjudian, sebaliknya menyentuh hak perlembagaan bukan Islam terhadap kesamarataan, kebebasan beragama serta perlindungan daripada larangan berasaskan agama yang hanya terpakai kepada umat Islam tetapi dikenakan ke atas mereka oleh kerajaan.
Katanya, setiap kerajaan perlu menghormati hak berkenaan, kekal dalam bidang kuasa yang diberikan Perlembagaan dan tidak menggunakan kuasa pelesenan tempatan sebagai jalan belakang untuk mengawal pilihan sah masyarakat bukan Islam.
“Sanusi kini perlu menjawab persoalan yang lebih asas. Jika PAS berpendapat sesuatu yang dilarang atau tidak dipersetujui PAS mesti turut dilarang kepada setiap rakyat Malaysia, di mana ia akan berhenti?
“Selepas perjudian, adakah PAS akan menggunakan kuasa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menutup premis arak, mengharamkan penjualan daging babi, mengehadkan pemilikan anjing dan melarang amalan sah lain yang dikaitkan dengan cara hidup masyarakat bukan Islam?” katanya.
Beliau berkata, persoalan itu wajar dibangkitkan berdasarkan prinsip yang sedang diketengahkan Sanusi, iaitu sama ada PAS boleh menggunakan kuasa politik untuk menjadikan pilihan agama dan moralnya sebagai peraturan wajib kepada semua rakyat.
“Bukan Islam tidak meminta PAS menyokong perjudian, arak, daging babi atau pemilikan anjing. Mereka meminta PAS menghormati hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara persekutuan yang berbilang kaum dan agama serta berlandaskan Perlembagaan,” katanya.
Chong berkata, menghormati hak bukan Islam tidak bermakna umat Islam dipaksa berjudi, meminum alkohol, memakan daging babi atau memelihara anjing.
Begitu juga, katanya, melindungi umat Islam daripada aktiviti yang dilarang agama mereka tidak bermakna aktiviti berkenaan perlu diharamkan kepada semua bukan Islam.
Beliau turut mengakui perjudian boleh menyebabkan ketagihan, hutang dan kemudaratan serius kepada keluarga.
Katanya, aktiviti perjudian berlesen perlu dikawal selia dengan ketat, manakala perjudian haram mesti dibanteras secara agresif dan usaha mencegah ketagihan diperkukuh.
“Pengawalseliaan bukan bermaksud sokongan. Menentang larangan menyeluruh yang bercanggah dengan Perlembagaan bukan bermakna mempromosikan perjudian,” katanya.
Chong berkata, sekiranya PAS mahu mengharamkan semua bentuk perjudian berlesen di seluruh negara, parti itu perlu menyatakannya dengan jelas, mengemukakan cadangan tersebut di peringkat Persekutuan dan mendapatkan mandat secara jelas daripada rakyat Malaysia.
Menurutnya, pengundi berhak menentukan sama ada mereka mahukan Malaysia yang menjadikan larangan berasaskan agama PAS terpakai kepada semua masyarakat.
“PAS tidak sepatutnya menggunakan kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan sebagai jalan belakang untuk mencapai sesuatu yang tidak mempunyai bidang kuasa perlembagaan untuk dilakukan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Chong menggesa Sanusi berhenti menyindir Ramkarpal dan menjawab persoalan berkenaan secara terus kepada rakyat.
“Adakah PAS menerima bahawa larangan agama yang terpakai kepada umat Islam tidak sepatutnya secara automatik dikenakan ke atas bukan Islam? Jika PAS menguasai Putrajaya, adakah perjudian hanya permulaan?” katanya.
Berita berkaitan
August 26, 2026, 3:02 pm
'Ustaz Lah' didakwa pecah amanah lebih RM13.8 juta milik NGO, cuci wang RM1.55 juta
August 26, 2026, 2:39 pm
Jerebu: Jemaah masjid, surau di Selangor dinasihat pakai pelitup muka
August 26, 2026, 2:25 pm
Kedah patut fokus isu dadah dan ketum, bukan politikan judi berlesen - Dr Faiz
August 26, 2026, 2:13 pm
Isu judi Kedah: Sanusi berseloroh jemput Ramkarpal ceramah kepada umat Islam
August 26, 2026, 12:31 pm
Perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua: Joki, dua penonton ditahan di Sentul
August 26, 2026, 12:30 pm
'Jangan lupakan kami' - Puluhan ribu Rohingya tuntut keadilan, mahu kehidupan bermaruah
August 26, 2026, 12:25 pm
