TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kemalangan roller coaster Subang Jaya: Majikan taman tema berdepan tindakan jika cuai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pemilik atau majikan taman tema di Subang Jaya berdepan tindakan penguatkuasaan sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran aspek keselamatan dalam insiden kerosakan kenderaan roller coaster yang mencederakan 10 pengunjung, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Hazlina Yon berkata, pihaknya memandang serius kejadian pada 22 Ogos itu dan kini sedang menjalankan siasatan terperinci merangkumi aspek forensik teknikal bagi mengenalpasti punca sebenar insiden.

"Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan keselamatan serta kesihatan pekerja dan orang awam terjamin, termasuk memastikan semua loji atau peralatan di taman tema disenggara dan selamat untuk beroperasi.

"Pengurusan taman tema juga diwajibkan melaksanakan pentaksiran risiko serta memastikan penyelenggaraan kenderaan dan permainan diuji mengikut spesifikasi pengilang oleh individu yang kompeten," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, JKKP akan meneliti keperluan untuk melaksanakan pemeriksaan bersasar ke atas loji dan peralatan berisiko tinggi di seluruh taman tema negara bagi menilai tahap pematuhan prosedur operasi serta ujian kompetensi pengendali.

Terdahulu, Polis Daerah Subang Jaya mengesahkan seramai 10 daripada 22 pengunjung mengalami kecederaan selepas kenderaan roller coaster yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal dan terhenti di pertengahan jalan kira-kira jam 9 malam pada Sabtu lalu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

+ - reset