TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MB N Sembilan arahkan 17 ADUN PH, dua penyelaras DUN pulangkan peruntukan hingga RM150,000 diterima sebelum bubar DUN

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 26 Ogos - Sebanyak 19 bekas wakil rakyat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu diarahkan memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh selepas pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Arahan itu membabitkan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras DUN, susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata keputusan itu dibuat susulan isu kelulusan peruntukan berkenaan yang dibangkitkan dalam sidang khas DUN, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap bekas EXCO perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan bulan Ogos dan September, manakala 10 ADUN biasa PH serta dua Penyelaras DUN perlu memulangkan keseluruhan peruntukan bagi tempoh Julai hingga September, masing-masing berjumlah RM174,000 dan RM150,000.

"Pada 3 Jun lalu, kerajaan negeri melalui MMK meluluskan peruntukan kepada ADUN PH dan pada 4 Jun, peruntukan itu disalurkan ke akaun mereka.

"Namun, DUN dibubarkan pada 5 Jun. Bagi Ahli EXCO termasuk Menteri Besar ketika itu mereka masih menjalankan tugas sehingga pilihan raya dan layak menggunakan peruntukan bagi Julai.

"Bagaimanapun bagi Ogos dan September, mereka perlu memulangkan semula peruntukan berkenaan kepada kerajaan negeri.

"Dengan pembubaran DUN, semua ADUN tidak lagi mempunyai kelayakan untuk menggunakan peruntukan kerajaan bagi tujuan kebajikan rakyat kerana mereka tidak lagi memegang mandat sebagai ADUN yang aktif," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Ismail berkata, daripada 17 ADUN itu, tujuh bertaraf EXCO, manakala 10 lagi ADUN biasa.

Katanya, setiap EXCO menerima RM225,000 bagi tempoh tiga bulan merangkumi RM180,000 untuk kesejahteraan rakyat dan RM45,000 bagi Pusat Khidmat ADUN.

"Daripada tnya, daripada jumlah itu, RM75,000 bagi Julai boleh digunakan kerana mereka masih berfungsi sebagai Ex-officio, manakala baki RM150,000 bagi Ogos dan September perlu dipulangkan.

Katanya, bagi 10 ADUN biasa PH pula, masing-masing menerima RM174,000 bagi tempoh tiga bulan, iaitu RM58,000 sebulan, merangkumi RM45,000 untuk kesejahteraan rakyat dan RM13,000 lagi bagi Pusat Khidmat ADUN.

"Bagi dua Penyelaras DUN pula,iaitu di Labu dan Paroi masing-masing menerima RM150,000 bagi tempoh tiga bulan dan keseluruhan jumlah itu perlu dipulangkan," katanya.

Ismail berkata, EXCO wajib memulangkan semula peruntukan bagi bulan Ogos dan September memandangkan mereka tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

"Keputusan ini dibuat bagi memastikan segala penggunaan peruntukan kerajaan adalah selaras dengan kedudukan dan status semasa selepas pembubaran DUN serta bagi menjaga ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri," katanya.

Pejabat Menteri Besar akan menghantar surat bagi menuntut pemulangan peruntukan berkenaan dalam masa terdekat dan tempoh 30 hari diberikan dari tarikh surat untuk memulangkan semula wang berkenaan.

Terdahulu, isu peruntukan RM180,000 yang didakwa disalurkan kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan diluluskan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu, dibangkitkan ahli dewan pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan, pada 18 Ogos lalu.

Perbahasan itu timbul susulan tular surat sumbangan kewangan untuk kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada ADUN PH berjumlah RM180,000 untuk Julai hingga September yang dikatakan bertarikh 4 Jun lalu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah bersetuju melantik Ketua MIC Bahagian Rembau, Datuk VS Mogan, sebagai Pegawai Hal Ehwal Masyarakat India bertaraf EXCO yang akan memulakan tugas pada 1 September ini.

+ - reset