Berita Berita
‘Anwar kalau lulus judi di Kedah, hang memang celaka, pelaq’
ALOR SETAR 26 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan kemarahan rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu, demikian amaran Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah melakukan segala yang termampu untuk menghalang aktiviti berkenaan menerusi larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri yang dilaksanakan sejak 2023.
Bagaimanapun, larangan itu dibatalkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu.
Susulan keputusan berkenaan, Sanusi berkata, kuasa untuk menentukan sama ada aktiviti perjudian boleh diteruskan di Kedah kini berada di tangan Anwar yang juga Menteri Kewangan.
“Maka bola berada di tangan menteri kewangan yang namanya semua tuan-tuan tahu dah–hang nak lulus ka hang tak lulus?
“Kalau hang lulus hang memang celaka bagi orang Kedah. Kita nak kata apa lagi?
“Orang Kedah akan mencelakakan hang kerana hang lulus. Bahasa kedah kata pelaq,” katanya dalam loghat Kedah ketika berucap di Alor Setar, malam tadi.
Sesi berkenaan dianjurkan Urus Setia Penerangan Darul Aman, badan penerangan kerajaan negeri Kedah, bagi menjelaskan situasi selepas keputusan mahkamah berhubung larangan perjudian berkenaan.
Dalam ucapannya, pemimpin pusat PAS itu turut menyeru rakyat Kedah mendoakan balasan Tuhan terhadap pihak yang didakwa berada di belakang cabaran undang-undang terhadap larangan perjudian di negeri itu.
Sanusi turut mendakwa mengetahui identiti “tauke” yang didakwa membiayai tindakan mahkamah berkenaan dan berkata beliau akan mendedahkannya apabila tiba masa.
“Tuan-tuan doa la bagi dia pecah perut. La ni (sekarang) tak boleh sebut, kes mahkamah tak selesai lagi.
“Kita akan berdoa tiap-tiap hari, sebut nama dia bagi Tuhan bagi dia pecah perut. Boleh ka lagu tu? Kita boleh (buat) pasal hang jahat.
“Dah kami tak terdaya dah. Oleh kerana hang kaya, dunia ini siapa kaya dia ada kuasa dan orang ada kuasa bergantung di kaki-kaki orang kaya,” katanya.
Sanusi berkata, perjudian merupakan satu lagi masalah yang dibawa British dan migran Cina pada tahun 1900-an selepas candu.
Menurutnya, pelesenan aktiviti candu dan perjudian oleh British pada ketika itu hanya memberi manfaat kepada kuasa penjajah dan tauke Cina, manakala rakyat biasa termasuk orang Melayu dan Cina menjadi mangsa.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mendapati dasar kerajaan Kedah untuk enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian bercanggah dengan Perlembagaan kerana menceroboh bidang kuasa Persekutuan.
Keputusan itu sekali gus menghentikan usaha perundangan kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di negeri berkenaan.
Berita berkaitan
August 26, 2026, 3:02 pm
'Ustaz Lah' didakwa pecah amanah lebih RM13.8 juta milik NGO, cuci wang RM1.55 juta
August 26, 2026, 2:39 pm
Jerebu: Jemaah masjid, surau di Selangor dinasihat pakai pelitup muka
August 26, 2026, 2:25 pm
Kedah patut fokus isu dadah dan ketum, bukan politikan judi berlesen - Dr Faiz
August 26, 2026, 2:13 pm
Isu judi Kedah: Sanusi berseloroh jemput Ramkarpal ceramah kepada umat Islam
August 26, 2026, 12:31 pm
Perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua: Joki, dua penonton ditahan di Sentul
August 26, 2026, 12:30 pm
