TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ustaz Lah' didakwa pecah amanah lebih RM13.8 juta milik NGO, cuci wang RM1.55 juta

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 26 Ogos – Seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh berdepan 34 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang lebih RM13.8 juta milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Abdullah Abdol Razak, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Dia turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.55 juta di hadapan Hakim Kunasundary Marimuthu.

Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia ketika kesalahan itu didakwa berlaku, didakwa melakukan pecah amanah di sebuah bank di Seremban 2 antara Februari 2023 hingga Mac 2026.

Bagi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2024 hingga Februari 2026 di lokasi sama.

Pertuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Abdullah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Dalam perkembangan sama, setiausaha NGO berkenaan, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa secara berasingan atas pertuduhan bersubahat dengan Abdullah dalam melakukan kesalahan pecah amanah berkenaan.

Noor Sahira didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama dan turut mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan yang didakwa dilakukan Abdullah merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Beliau turut memohon supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Peguam Bela Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan akaun bank anak guamnya telah dibekukan.

Beliau berkata Abdullah sudah berkahwin dan mengusahakan sebuah restoran, selain perlu menanggung 11 anak serta seorang ibu.

Hakim Kunasundary kemudian membenarkan Abdullah diikat jamin RM700,000, dengan RM300,000 daripadanya merupakan jaminan tanpa cagaran berserta dua orang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan permohonan lain yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Bagi Noor Sahira pula, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil mencadangkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua orang penjamin.

Azrul Zulkifli sekali lagi memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan Noor Sahira hanya berpendapatan RM3,000 sebulan serta perlu menanggung bayi berusia lima bulan dan ibu bapanya.

Hakim Kunasundary menetapkan jaminan terhadap Noor Sahira sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.

+ - reset