Berita Berita
'Malaysia ada potensi perkukuh agro makanan, perlu berani belajar daripada China' - Mat Sabu
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti serta pembangunan kawasan luar bandar antara pendekatan yang boleh dipelajari Malaysia daripada China dalam usaha memperkukuhkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengalaman lawatannya ke China bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan Makanan APEC Ke-11 di Hangzhou memberi ruang kepada Malaysia melihat beberapa pendekatan yang boleh disesuaikan dengan keperluan tempatan.
Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, beliau turut berkongsi bagaimana China memperkasakan sektor pertaniannya menerusi penggunaan teknologi serta perancangan yang tersusun dan berterusan.
Mohamad berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha Malaysia untuk memastikan teknologi yang diperkenalkan dalam sektor pertanian benar-benar memberi manfaat kepada golongan petani, pesawah, penternak dan nelayan.
Sebelum ini, beliau berkata teknologi dalam sektor pertanian hanya boleh dianggap berjaya sekiranya penggunaannya mampu meningkatkan hasil pengeluaran dan menambah pendapatan petani.
“AI penting, teknologi penting tapi akhirnya, ukuran kejayaan bukan pada secanggih mana sistem kita. Ukuran sebenarnya ialah hasil petani bertambah, pendapatan mereka meningkat dan makanan rakyat sentiasa cukup. Itu baru teknologi yang ada guna,” katanya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.
Mohamad berkata, Malaysia sendiri terus memperluaskan penggunaan teknologi menerusi Program Sawah Padi Pintar Berskala Besar (SMART SBB), yang kini melibatkan 18,650 pesawah di 92 lokasi membabitkan lebih 46,500 hektar kawasan sawah.
“Penggunaan mekanisasi, pengurusan yang lebih tersusun dan teknologi membolehkan sesetengah kawasan mencapai hasil sekitar enam hingga tujuh tan metrik sehektar,” katanya.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan teknologi yang bersesuaian, digabungkan dengan pengurusan yang baik, mampu meningkatkan hasil pengeluaran petani.
Pada masa sama, beliau berkata kerjasama antara negara juga penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan serantau kekal kukuh dan stabil.
Mohamad berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus memperkukuhkan sektor agro makanan negara dengan belajar daripada pengalaman negara lain, namun pendekatan yang diambil perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan.
“Bang Mat percaya Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terus memperkukuhkan sektor agro makanan negara.
“Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain, mengambil pendekatan yang sesuai dengan keperluan kita dan pada masa yang sama terus memperkasakan petani, pesawah, penternak serta nelayan tempatan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan memahami sendiri keperluan golongan yang terlibat dalam sektor pertanian bagi memastikan teknologi dan dasar yang diperkenalkan benar-benar praktikal.
Mohamad berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan bekalan makanan rakyat mencukupi dan terjamin, selain membina sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Berita berkaitan
August 26, 2026, 8:33 pm
MYSkill ID ‘pasport kemahiran nasional’ dibawa ke Kementerian Kewangan
August 26, 2026, 6:12 pm
Elak 'budaya selesa', Malaysia perlu dipacu lebih pantas dan berani - PMX
August 26, 2026, 6:04 pm
Jerebu: Sarawak, Lembah Klang antara 11 kawasan catat IPU tidak sihat
August 26, 2026, 5:59 pm
Kemalangan roller coaster Subang Jaya: Majikan taman tema berdepan tindakan jika cuai
August 26, 2026, 5:38 pm
Hilang di Pulau Pinang, guru KAFA ditemui selamat di Kedah selepas 4 hari gagal dihubungi
August 26, 2026, 5:22 pm
Pemandu teksi dipenjara 6 tahun, rempuh Rohingya hingga mati kerana tak cukup duit tambang
August 26, 2026, 5:09 pm
Bukan sekadar aksi, lumba haram Linkedua rupanya libatkan taruhan RM15,000 - Polis
August 26, 2026, 3:54 pm
