TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MYSkill ID ‘pasport kemahiran nasional’ dibawa ke Kementerian Kewangan

By
|
Kongsi
image

 

CYBERJAYA 26 Ogos - Cadangan MYSkill ID sebagai “pasport kemahiran nasional” yang memenangi pertandingan penggubalan dasar pelajar GenBajet2027 tahun ini akan dibentangkan kepada pasukan belanjawan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan.

Unit Pemacu Agenda Bumiputera (Teraju) berkata, platform yang dicadangkan Ahmad Huzairy Zaharuddin dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu direka untuk menjejak, mengesahkan dan merekod kemahiran seseorang sepanjang hayat, termasuk sijil latihan serta pencapaian projek praktikal.

Ketika membentangkan cadangan itu, Huzairy berkata MYSkill ID wajar beroperasi seperti platform berpusat seperti MyDigital ID dengan menghimpunkan data pendidikan dan peningkatan kemahiran daripada pelbagai badan latihan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“MyMahir mengenal pasti kemahiran yang diperlukan negara, tetapi kini MYSkill ID boleh memberitahu kita siapa yang sebenarnya memiliki kemahiran tersebut.

“Ini membolehkan pemain industri mengakses bakat serta rangka kerja latihan yang disediakan oleh Perbadanan Sumber Manusia (HRD Corp) kepada negara. Daripada situ, kita boleh menganalisis kumpulan bakat sedia ada untuk merancang kemahiran yang diperlukan negara,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Strategik Teraju, Nik Nazree Nik Abdul Rahman, berharap sesi pembentangan bersama pasukan belanjawan Kementerian Kewangan itu dapat membuka laluan kepada pelaksanaan cadangan berkenaan menerusi Belanjawan 2027.

Inisiatif Putera35 diharap diberi peruntukan

Dalam perkembangan berkaitan Belanjawan 2027, Nik Nazree turut berharap peruntukan yang mencukupi disediakan bagi pembangunan perusahaan Bumiputera dalam sektor berimpak tinggi, termasuk sektor peralihan tenaga.

Beliau berkata, usaha berkenaan merupakan antara 132 inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35), yang setakat ini mencapai 67 peratus pelaksanaan.

“Ini adalah satu daripada 132 inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35). Setakat ini, kita sudah mencapai 67 peratus kejayaan dari segi pelaksanaan pelan itu sendiri.

“Persoalan seterusnya ialah sama ada pelaksanaan itu menghasilkan keberhasilan yang diperlukan (Bumiputera), jadi diharapkan menjelang akhir tahun ini, kita dapat menerbitkan laporan prestasi pelaksanaan Putera35,” katanya.

Beliau berharap Belanjawan 2027 dapat menyediakan pembiayaan yang diperlukan Teraju bagi memastikan inisiatif berkenaan, termasuk MYSkill ID, dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Pelan Putera35 yang dirangka untuk tempoh 10 tahun itu diperkenalkan pada 2024 bagi mencetuskan perubahan besar dalam pembangunan Bumiputera, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

+ - reset