TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar rayu doa rakyat, 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi di Nepal

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Seramai 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan besar di daerah Rasuwa, Nepal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat terkesan selepas dimaklumkan Kementerian Luar mengenai perkembangan itu dan mendoakan semua rakyat Malaysia terbabit dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

"Saya juga amat terkesan apabila dimaklumkan oleh Kementerian Luar bahawa 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini dan usaha mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan mereka sedang giat dilakukan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi ahli keluarga susulan banjir dahsyat yang berlaku semalam, selain ratusan penduduk tempatan dan warga asing turut belum diketahui nasib mereka.

Anwar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan bagi mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

"Pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh, turut digerakkan bagi membantu memperkukuh penyelarasan di lapangan.

"Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan menggembleng segala ikhtiar yang diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas diberi keutamaan.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan supaya kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan. Insya-Allah," katanya.

+ - reset