TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Malaysia rumah kita' – Mohamed Khaled gesa rakyat jangan boikot Merdeka hanya kerana isu Rohingya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Sentimen terhadap isu Rohingya tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat memboikot sambutan Hari Kebangsaan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, kemerdekaan tidak wajar disandarkan kepada emosi atau sentimen terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam negara, sebaliknya sambutan Hari Kebangsaan perlu menjadi ruang untuk rakyat menzahirkan kecintaan kepada tanah air.

"Malaysia ini tanah tempat tumpah darah kita, Malaysia rumah kita. Resmi tuan rumah, kita tidak akan berhenti menjaga dan menghiasi rumah hanya kerana tidak bersetuju dengan kehadiran pihak tidak kita undang.

"Jadi, janganlah lepaskan peluang menzahirkan rasa kasih dan sayang pada tanah air hanya kerana kita tidak berpuas hati dengan sesetengah isu melanda negara. Sebaliknya, jadikan ruang dan peluang ini untuk menebalkan rasa kecintaan kepada negara.

"Setidak-tidaknya, patriotisme membara akan menjadi petunjuk kepada semua pihak di dalam dan luar negara, bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan tanah airnya menjadi medan politik dan polemik mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan, semalam.

Mohamed Khaled berkata, semangat patriotisme perlu terus disuburkan sebagai tanda kecintaan rakyat terhadap negara, tanpa dipengaruhi ketidakpuasan hati terhadap isu tertentu.

Sebelum ini, terdapat pengguna media sosial meminta rakyat memboikot sambutan kemerdekaan atau hadir ke Dataran Putrajaya dengan membawa sepanduk yang berbaur sindiran atau tuntutan berkenaan isu Rohingya.

+ - reset