TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tangani keciciran pembelajaran 'basic', 50 peratus medium pengajaran Bahasa Inggeris dalam Kurikulum 2027 – Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran di peringkat awal persekolahan akan ditingkatkan kepada 50 peratus menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.

Menurut laporan Awani, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh penguasaan dwibahasa selain menangani keciciran pembelajaran sejak peringkat asas.

Katanya, intervensi berkaitan keciciran pembelajaran telah dilaksanakan, manakala kurikulum baharu 2027 memberi penekanan semula kepada asas pendidikan seperti membaca, menulis, mengira dan menaakul.

"Intervensi telah kita lakukan. Sebab itu nanti kita akan maknanya kita boleh kongsikan pun data-data selepas intervensi yang kita lakukan untuk keciciran pembelajaran itu.

"Yang kedua, kita juga sedang melaksanakan kurikulum baru 2027. Jadi, back to the basics kurikulum baharu ini. Membaca, menulis, mengira dan menaakul. Maksudnya, back to the basic. Sebab itu, kurikulum baharu ini kita mulakan daripada awal. Prasekolah lagi kita dah tekankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab sempena Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.

Menjawab pandangan mengenai kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah, Fadhlina mengesahkan peratusan penggunaan bahasa berkenaan telah ditingkatkan dalam kerangka kurikulum baharu itu.

"Ia sudah selesai kerana kami memulakan kurikulum baru dengan sekolah lebih awal. Jadi 50% daripada medium pengajaran adalah dalam bahasa Inggeris. Ini adalah kurikulum baru. Kami akan mengambil Bahasa Inggeris untuk kurikulum baru juga," jelas Fadhlina.

Beliau turut menjelaskan fungsi Matriks Pembelajaran yang diperkenalkan bagi menggantikan ujian lama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Matriks pembelajaran ini adalah pengukuran melihat bagaimana anak kita boleh membaca, menulis dan mengira. Ia adalah pengukuran, bukan peperiksaan," tambah beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris kedua-duanya penting tanpa perlu dijadikan isu politik.

"Bahasa Melayu mesti dimartabatkan dan diangkat sebagai bahasa ilmu... Tapi penguasaan bahasa Inggeris sangat kritikal untuk masa depan anak-anak kita. Dia peringkat mana, itu pedagogi bagaimana, itu biar pakar-pakar yang menentukan.

"Bila orang politik dia campur banyak sangat tentang nak tentukan kurikulum, itu yang menjadi menimbulkan kerosakan seperti kita alami dulu," tegas Anwar.

Beliau berkata, Kerajaan komited memastikan pelaksanaan kurikulum baharu itu berjalan lancar demi membina asas pendidikan yang kukuh buat generasi akan datang.

+ - reset