Berita Berita
'Usah alih tiang gol' – PKR Kedah gesa Sanusi berhenti salahkan Anwar isu lesen judi
ALOR SETAR 27 Ogos - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhenti mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keputusan mahkamah berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu.
Pengarah Komunikasi MPN Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan mengaitkan Anwar dengan keputusan berkenaan tidak berasas kerana kes itu diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman.
Menurutnya, isu berkenaan bermula apabila pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini membatalkan lesen premis perjudian, sebelum tindakan itu dicabar pihak pengendali di mahkamah.
Beliau berkata, mahkamah kemudian memutuskan tindakan kerajaan negeri terbabit melangkaui bidang kuasa yang dimilikinya.
Katanya, permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan itu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi sendiri, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman.
“Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tunku Nashrul berkata, Malaysia mengamalkan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Sehubungan itu, katanya, keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menyerang mana-mana pihak.
Beliau turut mendakwa Pas mempunyai rekod yang bercanggah dalam isu perjudian apabila pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang disertai parti itu sebelum ini meningkatkan jumlah cabutan khas perjudian daripada lapan kepada 22 kali setahun.
Sebaliknya, katanya, kerajaan pimpinan Anwar telah mengurangkan semula jumlah cabutan khas berkenaan kepada lapan kali setahun.
Dalam masa sama, Tunku Nashrul menggesa Sanusi menjelaskan secara berfakta mengenai kekalahan kerajaan negeri dalam tindakan undang-undang berkaitan lesen premis perjudian dan tidak mengalihkan perhatian kepada pihak lain.
“Sanusi usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri sevcara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” tegas beliau lagi.
Isu lesen premis perjudian di Kedah kembali menjadi perhatian selepas keputusan mahkamah yang memihak kepada pengendali premis terbabit, sekali gus membatalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak memperbaharui lesen mereka.
Berita berkaitan
August 27, 2026, 4:12 pm
MOF nafi kerajaan tambah premis judi di Kedah, lesen baharu tidak pernah diluluskan
August 27, 2026, 3:55 pm
'Duit dah gunakan untuk rakyat, macam mana nak bagi balik?' - Adun PH Negeri Sembilan
August 27, 2026, 2:50 pm
Gempar! Mayat dah berbau ditemukan dalam ruang simpanan tayar pesawat dari Tokyo di KLIA2
August 27, 2026, 1:54 pm
KJ buka ‘jalan baharu’, lancar firma penasihat ketika PRU16 semakin menghampiri
August 27, 2026, 1:36 pm
Kerjasama PH-BN hadapi PRN Melaka diputus sebelum 16 September
August 27, 2026, 1:36 pm
Hanya tunggu 'green light' kerajaan, ATM bersedia bantu Nepal – Mohamed Khaled
August 27, 2026, 12:56 pm
