Berita Berita
KJ buka ‘jalan baharu’, lancar firma penasihat ketika PRU16 semakin menghampiri
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencuri perhatian apabila melancarkan firma penasihat korporat baharu, Flowstate Advisors, ketika Malaysia dijangka berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam tempoh kira-kira 18 bulan akan datang.
Khairy yang dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Flowstate berkata, firma berkenaan ditubuhkan bagi membantu pelanggan sektor awam dan swasta menghadapi perubahan politik, menilai risiko serta membuat keputusan berkaitan pelaburan dan peruntukan modal.
Menurut beliau, ketidaktentuan geopolitik, ekonomi global serta perkembangan politik domestik menjadi antara faktor utama firma itu dilancarkan pada masa ini.
“Alasan kami melancarkannya sekarang adalah kerana terdapat banyak ketidaktentuan dari segi persekitaran geopolitik dan ekonomi global, selain persekitaran politik tempatan yang sememangnya akan menyaksikan pilihan raya umum berlangsung dalam tempoh 18 bulan akan datang,” katanya selepas majlis pelancaran Flowstate, semalam.
Khairy berkata, perubahan politik boleh memberi kesan kepada cara institusi membuat keputusan berkaitan peruntukan modal dan pelaburan jangka panjang, khususnya membabitkan projek yang mempunyai kaitan dengan dasar kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelan pembangunan awam.
“Pada masa akan datang, ini adalah khidmat nasihat jangka panjang yang mampu kami tawarkan, termasuk menangani apa yang berlaku sekiranya berlaku peralihan politik bukan sahaja di Malaysia, malah di negara lain,” katanya.
Flowstate akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu nasihat sektor awam, nasihat urus niaga, strategi dan transformasi serta penciptaan nilai dan pelaksanaan.
Firma itu turut mengamalkan model berasaskan rakan kongsi dengan struktur yang lebih kecil dan fleksibel, selain membentuk pasukan khusus mengikut tugasan pelanggan.
Khairy berkata, pendekatan berkenaan membolehkan setiap rakan kongsi terlibat secara langsung dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang dikendalikan sehingga selesai.
“Menjadi firma kecil bukan sesuatu yang kami perlu malu. Itulah sebenarnya tujuan kami,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Flowstate sebagai alternatif tempatan kepada firma perunding antarabangsa yang sering menjadi pilihan organisasi besar apabila berdepan keputusan penting atau proses penstrukturan.
Dalam pada itu, Khairy dijangka mempergiatkan usaha pemasaran Flowstate dalam tempoh tiga bulan akan datang, khususnya ketika syarikat mula memuktamadkan perancangan perniagaan bagi 2027.
Beliau optimis permintaan terhadap perkhidmatan nasihat strategik akan meningkat dalam tempoh setahun akan datang, termasuk susulan peningkatan peruntukan modal oleh GLC dan pelan pelaburan kerajaan negeri.
“Kami percaya banyak kerja akan datang dalam tempoh setahun akan datang,” katanya.
Pada masa sama, Khairy turut ditanya mengenai spekulasi kemungkinan beliau kembali aktif dalam politik.
Bagaimanapun, beliau enggan melayan spekulasi berkenaan buat masa ini dan menegaskan kepentingan memastikan kesinambungan operasi Flowstate serta usaha niaga lain yang diceburinya.
“Saya fikir saya masih mempunyai sekurang-kurangnya setahun untuk membina perniagaan ini dan itu adalah tempoh yang panjang untuk membina rangkaian pelanggan. Apa sahaja yang berlaku kemudian, biarlah berlaku kemudian. Saya tidak fikir mereka akan kisah sekiranya bekas rakan kongsi mereka berada dalam kerajaan,” katanya.
Pasukan pengasas Flowstate terdiri daripada Khairy Sulaiman, Ezri Othman, Dimishtra Sittampalam, Rizuan Ahamad, Fakhrulrazi Fauzi dan Richard Lee.
Firma itu turut bekerjasama dengan Natural Capital Partners dalam bidang penggabungan dan pengambilalihan syarikat, pembiayaan korporat serta pengembangan usaha niaga dalam sektor modal semula jadi dan kelestarian di Asia Tenggara.
Berita berkaitan
August 27, 2026, 1:36 pm
Kerjasama PH-BN hadapi PRN Melaka diputus sebelum 16 September
August 27, 2026, 1:36 pm
Hanya tunggu 'green light' kerajaan, ATM bersedia bantu Nepal – Mohamed Khaled
August 27, 2026, 12:56 pm
"Ada orang jemput ke?" - Anwar tidak maklum pelawaan Azmin sertai semula PKR
August 27, 2026, 12:47 pm
Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan warga emas di rumah kampung
August 27, 2026, 12:39 pm
Salah cetak bintang Jalur Gemilang, Mydin henti jualan tudung serta-merta
August 27, 2026, 12:33 pm
Pemandu tertidur dan tiada lesen, wanita maut Proton Saga terbabas di Tawau
August 27, 2026, 12:29 pm
