Berita Berita
'Duit dah gunakan untuk rakyat, macam mana nak bagi balik?' - Adun PH Negeri Sembilan
SEREMBAN 27 Ogos - Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memohon kerajaan negeri mempertimbangkan semula arahan supaya peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September dipulangkan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu.
Wakil ADUN pembangkang, J Arul Kumar berkata, kesemua ADUN terbabit sudah menggunakan sebahagian daripada peruntukan berkenaan bagi tujuan kebajikan rakyat, malah ada yang telah membelanjakannya sepenuhnya.
“Apabila kita terima peruntukan itu, sudah tentulah kita telah salurkan kepada individu ataupun mana-mana organisasi seperti sekolah, persatuan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung (JPKK).
“Kita tidak menggunakan dana ini untuk kegunaan sendiri ataupun untuk tujuan politik, tetapi semuanya digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Seremban pada Khamis.
Sebelum ini dilaporkan, seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu diarahkan memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selepas isu peruntukan berkenaan dibangkitkan dalam sidang khas DUN sebelum ini.
Menurutnya, daripada 17 ADUN terbabit, tujuh bertaraf EXCO, manakala 10 lagi ialah ADUN biasa.
“Setiap Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, ADUN biasa sebanyak RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September, manakala penyelaras DUN pula RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September,” katanya.
Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, agak sukar untuk peruntukan berkenaan dipulangkan semula, lebih-lebih lagi membabitkan jumlah yang tinggi.
ADUN Nilai itu berkata, peruntukan berkenaan disalurkan mengikut suku tahunan dan bukannya berdasarkan pecahan bulanan.
“Jika ikut sidang media Menteri Besar semalam, beliau meminta supaya kita memulangkan peruntukan itu mengikut bulan, sedangkan peruntukan itu disalurkan mengikut suku tahunan.
“Tapi tidak dinyatakan pun bahawa setiap bulan kita perlu menggunakan jumlah tertentu. Itu terpulang kepada ADUN masing-masing bagaimana nak menguruskannya kerana mungkin berlaku apa-apa insiden kecemasan yang memerlukan lebih banyak peruntukan digunakan,” katanya.
Selain itu, katanya, berdasarkan semakan dibuat, semua ADUN PH dan dua penyelaras sudah menghantar laporan kewangan sehingga 30 Jun lalu kepada Pejabat Menteri Besar seperti diarahkan.
Baki peruntukan yang masih ada juga, katanya, telah dipulangkan sebelum 10 Julai.
Ini bermakna, katanya, berdasarkan surat berkenaan, semua ADUN boleh menggunakan peruntukan yang diterima pada 4 Jun lalu sehingga 30 Jun.
“Jadi macam mana kita nak pulangkan duit itu sekarang? Duit yang kita sudah belanjakan kepada rakyat, nak bagi balik macam mana?
“Malah, ada juga beberapa penerima yang telah menghubungi kita dan bertanya sama ada perlu memulangkan semula duit sumbangan yang diterima,” katanya.
Arul Kumar berkata, beliau akan bertemu Menteri Besar bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu selepas menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri.
Beliau turut berharap kerajaan negeri menyemak semua laporan kewangan serta bukti agihan yang telah dikemukakan.
“Yang paling penting, kita gunakan duit ini untuk rakyat, bukannya untuk tujuan politik dan semua rekod telah pun diberikan kepada Pejabat Menteri Besar,” katanya.
Berita berkaitan
August 27, 2026, 4:12 pm
MOF nafi kerajaan tambah premis judi di Kedah, lesen baharu tidak pernah diluluskan
August 27, 2026, 2:50 pm
Gempar! Mayat dah berbau ditemukan dalam ruang simpanan tayar pesawat dari Tokyo di KLIA2
August 27, 2026, 2:44 pm
'Usah alih tiang gol' – PKR Kedah gesa Sanusi berhenti salahkan Anwar isu lesen judi
August 27, 2026, 1:54 pm
KJ buka ‘jalan baharu’, lancar firma penasihat ketika PRU16 semakin menghampiri
August 27, 2026, 1:36 pm
Kerjasama PH-BN hadapi PRN Melaka diputus sebelum 16 September
August 27, 2026, 1:36 pm
Hanya tunggu 'green light' kerajaan, ATM bersedia bantu Nepal – Mohamed Khaled
August 27, 2026, 12:56 pm
