TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Kalau ceplos tak faham takpe lagi, tapi Setiausaha Politik Menteri Kewangan pun tak faham?’ - Akmal 'sound' Kamil

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Sept - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Munim berhubung isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang didakwa melebihi peruntukan diluluskan.

Akmal menegaskan, asas tatacara kewangan kerajaan menetapkan setiap projek pembangunan kementerian perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu sebelum boleh dilaksanakan.

Katanya, MOF akan meneliti setiap cadangan pembangunan termasuk kemampuan kewangan kerajaan sebelum keputusan untuk meluluskan sesuatu projek dibuat.

“Jika boleh dilaksanakan, barulah Kementerian Kewangan memberikan kelulusan dan kementerian yang memohon akan bertindak sebagai badan pelaksana.

“Mana-mana kementerian tidak boleh berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya dalam media sosial beliau pagi ini.

Menurut Akmal, sekiranya berlaku perbelanjaan melebihi jumlah yang diperuntukkan, perkara itu juga perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu.

“Jika ada perbelanjaan yang melebihi jumlah yang diperuntukkan sekalipun, ia mesti dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan terlebih dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata, perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan bukan hanya berlaku di KKDW, malah turut berlaku di kementerian lain.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Pendidikan pada 2024 menerima peruntukan RM58.726 bilion, namun jumlah yang dibelanjakan adalah RM59.871 bilion.

“Jadi, isu yang dibangkitkan oleh timbalan perdana menteri bukan kementerian berbelanja sesuka hati melebihi peruntukan.

“Isunya adalah projek yang dipohon sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, tetapi peruntukan tidak sampai kepada KKDW. Itu isunya,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Akmal menyindir Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan kerana didakwa gagal memahami asas kewangan kerajaan.

“Kalau level ceplos yang tak faham asas kewangan negara, kita boleh terima.

“Tetapi ini Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri pun tak faham, memang makin kuatlah rakyat nak jadikan PMX kepada XPM,” katanya.

Semalam, Kamil dalam komen mengenai isu itu menyifatkan tindakan kementerian yang berbelanja melebihi peruntukan ditetapkan sebagai tidak wajar dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara.

“Macam mana nak cukup kalau belanja lebih daripada peruntukan yang telah ditetapkan. Besar pasak daripada tiang. Jahanam negara macam ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 2 September.

Kenyataan itu dibuat susulan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican bahawa KKDW sejak beberapa tahun lalu telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.

Johan berkata, pada 2023 perbelanjaan sebenar KKDW berjumlah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion peruntukan diluluskan, manakala pada 2024 perbelanjaan mencecah RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion.

Pada 2025 pula, perbelanjaan sebenar KKDW ialah RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion peruntukan diluluskan, manakala bagi 2026, peruntukan yang diluluskan berjumlah RM2.1 bilion dan perbelanjaan sebenar setakat Jun lalu mencapai RM1.9 bilion.

Johan berkata, MOF sedang bekerjasama dengan KKDW termasuk menyusun semula peruntukan kementerian itu berdasarkan keutamaan bagi menangani isu berkenaan.

+ - reset