TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tersepit pada tayar lori, kanak-kanak 12 tahun maut dalam kemalangan di Gurun

By
|
Kongsi
image

 

GURUN 4 Sept - Hasrat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun untuk menumpang motosikal bertukar tragedi apabila dia maut selepas motosikal dinaiki bersama seorang remaja 14 tahun merempuh belakang sebuah lori di Jalan Gurun-Jeniang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2 petang membabitkan sebuah lori dipandu seorang lelaki dan motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun dengan mangsa sebagai pembonceng.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit sedang bergerak perlahan untuk berhenti apabila sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya berhenti secara mengejut di hadapan lori susulan lampu isyarat merah.

“Ini menyebabkan pemandu lori cuba mengelak ke laluan susur kiri sebelum dia terdengar dentuman dari arah belakang sisi kiri,” katanya.

Hanyan berkata, pemeriksaan kemudian mendapati motosikal yang dinaiki mangsa dan remaja berkenaan melanggar bahagian belakang lori.

Katanya, mangsa tersepit pada tayar belakang lori, manakala penunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa yang meninggal dunia mengalami cedera parah di bahagian badan dan paha kiri kanan.

“Penunggang motosikal pula hanya mengalami luka dan calar pada tangan serta kaki,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Hanyan berkata, mangsa yang maut berasal dari Kampung Paya Mak Insun, Ayer Puteh, Pendang, manakala penunggang motosikal pula berasal dari Kampung Batu 3, Jalan Jeniang, di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

+ - reset