TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kes rasuah lain bersungguh-sungguh pula diteruskan' - Rayer desak AGC teliti semula 47 kes rasuah babit Zahid Hamidi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Sept - Peguam Negara digesa meneliti semula keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, ketika timbul spekulasi mengenai pergeseran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), selain mempersoalkan mengapa pendakwaan terhadap Pengerusi BN itu dihentikan ketika kerajaan dilihat semakin tegas mengambil tindakan terhadap pelbagai kes rasuah.

Pemimpin DAP itu berkata, piawaian sama perlu diguna pakai terhadap sekutu mahupun seteru politik.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa meneruskan semula pendakwaan sekiranya bukti dan undang-undang mewajarkan tindakan sedemikian.

"Oleh itu, soalan saya kepada peguam negara sekarang ialah mengapa beberapa kes dakwaan rasuah diteruskan dengan bersungguh-sungguh sementara kes tertentu ini telah ditamatkan?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan pendakwaan untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes rasuah Zahid.

Pendakwa raya utama, Dusuki Mokhtar, yang merupakan Peguam Negara semasa, telah mengemukakan 11 sebab untuk permohonan itu, termasuk untuk membolehkan pihak pendakwaan menjalankan siasatan yang lebih komprehensif dan lengkap terhadap kes Zahid.

Walaupun DNAA membuka kemungkinan Zahid akan didakwa pada masa hadapan sekiranya pihak pendakwa raya mahu mengkaji semula perkara itu, keputusan berkenaan mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Antaranya bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, yang menggelarnya sebagai "pembaziran dana awam".

Mengulas lanjut, Rayer menekankan bahawa pertuduhan dikaitkan dengan Zahid adalah serius dan telah melalui perbicaraan yang panjang sebelum pihak pendakwaan menghentikan kes itu selepas beliau diperintahkan membela diri.

Pemimpin DAP itu berkata, gesaannya bukan bertujuan untuk mengisytiharkan Zahid bersalah, sebaliknya lebih menjurus kepada soal kesaksamaan di sisi undang-undang, konsistensi dalam pendakwaan serta kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan.

"Jika kerajaan serius untuk memerangi rasuah, tidak boleh ada satu standard untuk lawan politik dan satu lagi untuk sekutu politik," katanya.

Beliau menambah bahawa pendakwaan terhadap bekas pemimpin politik baru-baru ini menunjukkan kerajaan bersedia untuk bertindak menentang rasuah tanpa mengira betapa berkuasa atau hubungan baik dengan seseorang individu itu.

Rayer seterusnya menggesa Peguam Negara menangani kebimbangan orang ramai berhubung persepsi pendakwaan politik terpilih.

"Jika kerajaan ini benar-benar ingin meyakinkan rakyat Malaysia bahawa era pendakwaan terpilih telah berakhir, maka ia mesti menunjukkan prinsip itu secara konsisten - termasuk dalam kes timbalan perdana menteri," tegasnya.

+ - reset