Berita Berita
Empat suspek kes dadah RM45 juta lari ke Thailand, Vietnam selepas pembantu juruterbang ditahan di Indonesia
KUALA LUMPUR 4 Sept - Empat daripada enam suspek kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia di Indonesia dikesan melarikan diri ke Thailand dan Vietnam selepas mengetahui lelaki berusia 39 tahun itu ditahan.
Keempat-empat suspek terbabit melarikan diri ke luar negara selepas pembantu juruterbang itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten pada 28 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua enam suspek bagaimanapun berjaya ditahan antara 20 hingga 28 Ogos lalu.
"Daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya melarikan diri ke luar negara iaitu dua ke Thailand dan dua lagi ke Vietnam.
"Dua suspek yang melarikan diri ke Thailand ditahan ketika kembali ke Malaysia dengan menaiki feri di Kuah, Langkawi, Kedah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, dua lagi suspek yang melarikan diri ke Vietnam ditahan ketika kembali ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.
"Dua lagi baki suspek masing-masing ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Klang, Selangor," katanya.
Hussein berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 50 tahun kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi membantu siasatan lanjut.
Untuk rekod, di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, pihak polis mempunyai kuasa menahan reman mana-mana suspek selama tempoh 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.
Katanya, sebahagian hasil siasatan berkaitan kes berkenaan akan dikongsi dengan pihak Polis Republik Indonesia (Polri) untuk tindakan selanjutnya.
Pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.
Penahanan dibuat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik pembantu juruterbang itu mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.
Menurut polis Indonesia, pembantu juruterbang itu didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel.
Berita berkaitan
September 4, 2026, 1:23 pm
Lelaki 'terpaling anak jantan' cetus provokasi ketika Hari Kebangsaan di Putrajaya disahkan positif dadah
September 4, 2026, 12:57 pm
‘Tengku Zafrul tak pernah bawa isu judi ke kabinet semasa jadi Menteri Kewangan' - Takiyuddin
September 4, 2026, 12:32 pm
PH perlu ‘khemah besar’ hadapi PRU16, BERSATU antara parti disaran digabung
September 4, 2026, 11:08 am
'Saya hadir kerana sepina, tapi disuruh pulang' – Madinah jawab dakwaan Pengerusi TH
September 4, 2026, 10:46 am
'TPM, menteri tiada hak desak PM adakan PRU lebih awal, kalau tak setuju boleh letak jawatan' - Hassan
September 4, 2026, 9:43 am
Tersepit pada tayar lori, kanak-kanak 12 tahun maut dalam kemalangan di Gurun
September 4, 2026, 9:16 am
Lari 50 meter, lompat pagar tanah perkuburan, mekanik ditembak tiga das
September 3, 2026, 6:36 pm
