TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya hadir kerana sepina, tapi disuruh pulang' – Madinah jawab dakwaan Pengerusi TH

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Sept - Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau meminta untuk memasuki bilik prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bersama bekas Timbalan Pengarah Audit Kewangan Jabatan Audit Negara, Dr Mona Othman.

Sebaliknya, Madinah berkata, beliau hadir pada prosiding RCI pada 3 Jun 2022 selepas menerima sepina, namun diminta pulang tanpa dipanggil memberikan keterangan.

Beliau berkata, Mona hanya berada bersamanya di luar bilik prosiding sebagai persediaan sekiranya RCI memerlukan maklumat teknikal tambahan berkaitan isu TH.

"Tidak tepat kenyataan itu kerana saya tidak pernah minta untuk hadir dalam bilik prosiding bersama Dr Mona sebaliknya Dr Mona hanya 'standby' di luar sekiranya ada soalan berkaitan bentuk teknikal.

"Tidak pernah saya minta untuk masuk ke dalam bilik prosiding bersama Dr Mona. Ketika itu (petugas) sekretariat keluar daripada bilik prosiding dan memaklumkan saya tidak perlu masuk dan meminta saya balik.

"Sekiranya benar tak boleh bawa Dr Mona masuk, mengapa tak dimaklumkan kepada saya dan hanya saya disuruh pulang. Apabila saya tanya mengapa? Beliau menyatakan tidak pasti," katanya kepada BH, di sini semalam.

Madinah berkata demikian bagi menjelaskan perkara yang disifatkannya sebagai kenyataan tidak tepat oleh Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin yang juga anggota RCI, berhubung kehadirannya pada prosiding berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau sememangnya menerima sepina untuk hadir dan memberikan keterangan kepada anggota RCI.

Mengulas peluang yang diberikan RCI kepadanya untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap 75 soalan, Madinah berkata, dokumen berkenaan tidak boleh menggantikan peluang memberikan penjelasan secara lisan.

"Memang saya ada beri afidavit tetapi tidak boleh menggantikan hujah lisan. Mereka perlu dengar apa yang saya perlu katakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Madinah sebelum ini menjelaskan perbezaan RM4.8 bilion antara dapatan Jabatan Audit Negara dan penilaian PricewaterhouseCoopers (PwC) terhadap TH bukan bukti bahawa Jabatan Audit Negara gagal menjalankan tanggungjawabnya.

Sebaliknya, beliau berkata, perbezaan angka itu perlu difahami berdasarkan perbezaan mandat, skop, tempoh rujukan dan kaedah penilaian yang digunakan.

Menurutnya, perbezaan tersebut tidak bermakna Jabatan Audit Negara terlepas pandang kerugian atau PwC terlebih nilai, sebaliknya angka berbeza boleh terhasil apabila asas penilaian yang digunakan adalah berbeza.

"Atas sebab itu, tidak wajar perbezaan itu terus dijadikan kesimpulan kredibiliti Jabatan Audit Negara terjejas atau seluruh pengauditan oleh Jabatan Audit Negara selama ini perlu dipertikai.

"Kerja audit perlu dinilai berdasarkan undang-undang, mandat dan piawaian yang berkuat kuasa pada ketika ia dilaksanakan. Menilai audit terdahulu menggunakan piawaian atau pendekatan yang muncul kemudian adalah tidak wajar," katanya.

+ - reset