Berita Viral
'Saya tumpang kona sahaja', tuan rumah berang pemandu buat 'u turn' depan rumah di Sungai Petani
SUNGAI PETANI — Sebuah video tular di media sosial sejak semalam memaparkan tindakan seorang pemilik rumah yang memarahi pemandu kenderaan hanya kerana membuat pusingan tiga penjuru (3 point turn) di hadapan kediamannya di Bandar Perdana.
Kejadian yang berlaku pada Ahad (6 September) itu menjadi perhatian ramai selepas muat naik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dimuat naik menerusi laman Facebook Penduduk Sungai Petani.
Berdasarkan rakaman berdurasi singkat itu, pemandu kenderaan terbabit dilihat memasuki sebuah lorong di kawasan perumahan berkenaan sebelum mengundur dan membuat pusingan U di hadapan pintu pagar sebuah rumah.
Bagaimanapun, pintu pagar kediaman tersebut secara tiba-tiba terbuka sebelum seorang lelaki keluar sambil mencekak pinggang dan merenung tajam ke arah kenderaan berkenaan.
Lelaki dipercayai tuan rumah itu kemudiannya memarahi pemandu terbabit sambil menunjuk ke arah kawasan hadapan rumahnya, meskipun pemandu berkenaan telah tampil menjelaskan situasi sebenar secara berhemah.
"Tumpang kona (pusing) je bang. La, saya tumpang kona je. Saya nak ambil anak bang. Baik, Allah ada," kedengaran pemandu itu memberikan penjelasan menerusi audio rakaman berkenaan.
Dalam pada itu, perkongsian kapsyen daripada pemilik dashcam mendakwa tuan rumah berkenaan turut melemparkan kata-kata kesat dan meludah ke arah kenderaannya.
"Dia tanya kenapa tak pusing dekat depan, minyak mahal sangat ke? Malah dia kata 'Aku buat rumah besar-besar bukan untuk hang'. Saya tak tahu pula luar rumah pun dianggap tanah peribadi," kata hantaran tersebut.
Hasil semakan pada rakaman video mendapati individu terbabit sememangnya ada meludah, namun tidak terkena pada badan kenderaan berkenaan.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya menyifatkan tindakan tuan rumah berkenaan sebagai keterlaluan dan tidak bertolak ansur, memandangkan kawasan hadapan pagar merupakan jalan awam.
Berita berkaitan
September 7, 2026, 7:02 pm
'Normal day in Klang', lelaki tumbuk pemandu lori di tengah jalan raya
September 7, 2026, 6:02 pm
Staf 'airport' campak air zam-zam di India
September 7, 2026, 4:43 pm
Pemandu e-hailing berang pelancong asing tipu nak bayar RM50 untuk pulang kamera tertinggal dalam kereta
September 7, 2026, 12:18 pm
Tindakan peserta konvoi motosikal suruh perlahankan kereta terima kecaman ramai di Melaka
September 7, 2026, 11:59 am
Warga asing didakwa tetapkan syarat penggunaan padang bola
September 7, 2026, 11:09 am
Warga asing 'lepak' dekat padang, siap bakar sampah waktu jerebu di Bangi
September 6, 2026, 10:03 pm
Pemandu terkejut 'rider' pecut laju lepas langgar kereta
September 6, 2026, 3:37 pm
