TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Pemandu e-hailing berang pelancong asing tipu nak bayar RM50 untuk pulang kamera tertinggal dalam kereta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 SEPTEMBER – Satu insiden pertikaian antara seorang pelancong asing dan pemandu e-hailing tular di media sosial selepas pelancong berkenaan mempertikaikan bayaran RM50 yang diminta bagi memulangkan barangannya yang tertinggal.

Kejadian yang berlaku pada hari terakhir pelancong berkenaan berada di ibu negara itu bermula apabila dia menyedari kamera serta lensa miliknya tertinggal di dalam kenderaan sejurus tiba di sebuah kawasan.

Menurut pelancong berkenaan, beberapa mesej yang dihantar kepada pemandu tidak dibalas, manakala panggilannya hanya diangkat selepas dua hingga tiga kali percubaan. 

Pemandu itu bagaimanapun bersetuju berpatah balik ke lokasi untuk memulangkan barangan tersebut.

Namun, situasi menjadi tegang apabila pemandu e-hailing berkenaan meminta bayaran sebanyak RM50 selepas kamera dipulangkan. 

Pelancong itu yang menganggap purata tambang perjalanannya hanya sekitar RM13 bertindak hanya menawarkan RM20 kerana menganggap RM50 terlalu mahal.

Tindak balas tersebut menyebabkan pertengkaran mulut berlaku antara kedua-dua pihak sebelum pemandu berkenaan berlalu pergi. 

Pelancong terbabit mendakwa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, perkongsian video insiden berkenaan di media sosial menerima reaksi sebaliknya daripada warganet. 

Kebanyakan pengguna media sosial mengkritik tindakan pelancong asing itu dan menganggap bayaran RM50 yang diminta adalah munasabah bagi menggantikan masa, penggunaan bahan api, serta kos perjalanan pemandu yang sanggup berpatah balik.

+ - reset