TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan bukan 'cek kosong', Anwar beri amaran soal perbelanjaan negara

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 8 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa perbelanjaan kerajaan tidak boleh terus meningkat tanpa kawalan, terutama ketika kerajaan berdepan kos subsidi yang semakin tinggi.

Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini, Anwar menegaskan keperluan mengamalkan disiplin fiskal yang lebih ketat dengan mengubah pendekatan kerajaan dalam menangani setiap permasalahan melalui pertambahan peruntukan.

Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan setiap perbelanjaan awam memberikan hasil yang boleh diukur dan memberi manfaat kepada rakyat, bukannya sekadar meningkatkan jumlah peruntukan dari tahun ke tahun.

“Perlu ada disiplin yang lebih tinggi dalam menguruskan perbelanjaan awam. Kita tidak boleh terus bertindak terhadap setiap masalah dengan hanya menambah peruntukan, khususnya apabila kos subsidi masih tinggi.

“Kita sudah membayar RM40 bilion untuk subsidi. Ini bukan jumlah yang kecil,” katanya.

Anwar turut mempersoalkan sejauh mana kerajaan mampu mengekalkan corak perbelanjaan sedia ada sekiranya peruntukan terus ditingkatkan tanpa mengambil kira kemampuan kewangan negara.

“Kalau kita terus meningkatkan (perbelanjaan), sampai bila kita boleh teruskan?” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab utama kerajaan adalah memastikan setiap ringgit wang awam yang dibelanjakan menghasilkan kesan bermakna kepada rakyat.

Kenyataan itu dibuat ketika terdapat permintaan daripada beberapa kementerian untuk meningkatkan peruntukan, sedangkan kerajaan pada masa sama perlu menguruskan beban kewangan besar susulan pemberian subsidi secara langsung.

Pada 30 Ogos lalu, Anwar berkata subsidi petrol dan diesel yang dinikmati pelbagai golongan pendapatan termasuk kumpulan M40 dan T20 menelan belanja kerajaan kira-kira RM40 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan terus berusaha mengimbangi keperluan mengawal perbelanjaan dengan usaha melindungi kebajikan rakyat.

Terbaharu, Anwar mengumumkan pengembalian kelayakan asas bagi program Budi Madani RON95 dengan meningkatkan had penggunaan daripada 200 kepada 300 liter sebulan bagi membantu lebih 16 juta pengguna.

Dalam pada itu, Anwar mengakui masih ramai rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan kerajaan tidak menganggap semua masalah telah selesai.

Menurut beliau, meskipun enam langkah segera diperkenalkan bulan lalu, tindakan susulan masih diperlukan bagi mengurangkan tekanan yang ditanggung isi rumah.

Keadaan itu dijangka menjadi antara pertimbangan utama dalam penyediaan Belanjawan 2027, terutama dalam menentukan bentuk bantuan bersasar yang diperlukan rakyat tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.

+ - reset