TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johor lancar operasi besar-besaran tangkap anjing liar susulan serangan ke atas Nur Haira

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 8 Sept - Kerajaan Johor melancarkan operasi besar-besaran menangkap anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, susulan serangan membabitkan lima ekor haiwan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, operasi bersepadu itu turut bertujuan mengenal pasti sama ada anjing liar di kawasan berkenaan bebas daripada jangkitan rabies.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, kita mengarahkan operasi besar-besaran bagi menangkap anjing liar di kawasan tersebut, terutamanya bagi mengenal pasti kesemua anjing liar tersebut bebas daripada rabies bagi maksud keselamatan anak kita (mangsa) ini,” katanya pada sidang media di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Batu Pahat sudah memulakan operasi susulan sejak semalam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi itu dilaksanakan susulan tiga siri operasi MPBP bersama JPV pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu yang berjaya menangkap 22 ekor anjing liar.

Bagaimanapun, populasi haiwan terbabit masih dikesan tinggi di kawasan berkenaan.

Mohd Fared berkata, agensi terlibat turut digesa supaya tidak hanya bergantung kepada kaedah sedia ada, sebaliknya mempelbagaikan pendekatan yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan operasi lebih berkesan.

Beliau berkata, tindakan tegas itu juga akan diperluaskan ke seluruh daerah di Johor susulan arahan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakkan operasi kawalan haiwan liar.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, Kerajaan Negeri Johor turut memberi komitmen penuh menanggung keseluruhan kos perubatan dan rawatan susulan mangsa di HSA.

Katanya, khidmat kaunseling turut disediakan kepada ahli keluarga mangsa, khususnya abangnya yang berusia 12 tahun selepas mengalami trauma akibat menyaksikan kejadian berkenaan.

Mohd Fared turut meminta orang ramai memadam dan menghentikan penyebaran gambar mangsa di media sosial bagi menjaga privasi keluarga.

Beliau berkata, kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dipohon bagi menurunkan hantaran berkaitan.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menziarahi mangsa, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi, 2, dan keluarganya selain mendapatkan perkembangan rawatan kanak-kanak itu di HSA.

Pada Ahad lalu, media melaporkan Nur Haira diserang sekumpulan anjing liar sehingga mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata abang kepada Nur Haira mengalami trauma emosi selepas menyaksikan kejadian itu.

Katanya, anak lelakinya itu kini diberi pelepasan sekolah selama dua minggu untuk menjalani rawatan kaunseling.

Nur Wahyuni berkata, Nur Haira pula masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan pertama bagi merawat kecederaan yang dialami.

Kanak-kanak itu kini masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di HSA.

+ - reset