TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 2 tahun parah diserang lima anjing liar masih ditidurkan, kerajaan negeri tanggung kos rawatan

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 8 Sept – Kerajaan Johor akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan pemulihan Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, yang cedera parah selepas diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, keluarga mangsa tidak perlu memikirkan soal kewangan sepanjang kanak-kanak itu menjalani rawatan.

“Keluarga tidak perlu risau mengenai kos. Jika doktor mengesyorkan rawatan dan ibu bapa memberi keizinan, rawatan akan diteruskan dan kos rawatan ditanggung pentadbiran negeri.

“Saya juga akan menempatkan seorang pegawai untuk terus berhubung dengan pihak hospital bagi memudahkan pengurusan kos rawatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Nur Haira yang kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, pada Selasa.

Menurut Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Nur Haira masih ditidurkan dan memerlukan rawatan rapi.

Katanya, mangsa juga dijangka melalui proses pemulihan yang panjang selepas kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, keadaan emosi keluarga Nur Haira turut akan diberikan perhatian, termasuk abangnya yang berusia 12 tahun.

Beliau berkata, keluarga mangsa wajar diberikan khidmat kaunseling bagi membantu mereka mengatasi trauma susulan kejadian berkenaan.

+ - reset