Berita Berita
INTERPOL UK cari Yusoff Rawther untuk serah notis rayuan pendakwaan
PUTRAJAYA, 8 September – Mahkamah Rayuan dimaklumkan bahawa Polis Antarabangsa (INTERPOL) di Manchester, United Kingdom (UK) sedang mengesan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther bagi menyerahkan notis rayuan pihak pendakwaan kepadanya.
Rayuan berkenaan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis serta memiliki dua pistol tiruan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan bahawa pihak Biro Pusat Kebangsaan (NCB) INTERPOL di Manchester telah dimaklumkan pada 22 Julai lalu dan kini sedang mengumpul maklumat untuk mengesahkan keberadaan responden.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi meneruskan usaha penyerahan notis rayuan secara fizikal mengikut peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Walaupun peguam responden memaklumkan bahawa anak guamnya bersedia menghadiri prosiding secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Azman Abdullah menegaskan bahawa kehadiran fizikal adalah wajib bagi kes jenayah.
Hakim Azman menjelaskan bahawa kehadiran fizikal tertuduh amat penting bagi memastikan sebarang perintah atau keputusan tahanan yang dikeluarkan oleh mahkamah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Peguam bela Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff mengesahkan anak guamnya berada di UK sejak Jun tahun lalu bagi memohon suaka hak asasi manusia dan bersetuju dengan keperluan mematuhi prosedur Seksyen 314 KTJ.
Mahkamah Rayuan menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapat maklum balas berhubung perkembangan penyerahan notis berkenaan.
Berita berkaitan
September 8, 2026, 6:11 pm
Helikopter Flying Doctor terhempas di Long Lellang, lima termasuk juruterbang dalam pesawat
September 8, 2026, 5:29 pm
Lelaki cabul anak saudara empat tahun rayu tempoh penjara dikurangkan, mahkamah tambah 20 tahun
September 8, 2026, 3:23 pm
Lari sekejap dari kesibukan, Yuneswaran turun padang dengar sendiri suara masyarakat Ladang Gomali
September 8, 2026, 2:43 pm
Johor lancar operasi besar-besaran tangkap anjing liar susulan serangan ke atas Nur Haira
September 8, 2026, 2:17 pm
Budak 2 tahun parah diserang lima anjing liar masih ditidurkan, kerajaan negeri tanggung kos rawatan
September 8, 2026, 1:37 pm
Mufti Pulau Pinang ingatkan golongan muda semak hukum syarak sebelum ikut trend media sosial
September 8, 2026, 1:26 pm
UiTM terus beri bantuan kepada keluarga Fadhlan Fakhry
September 8, 2026, 12:58 pm
