TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Terkejut dengan kenyataan SPRM, beliau tidak diberi peluang tukar baju’ – Peguam nafi Abdul Azeez sengaja pakai baju lokap, gari

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Sept - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak pernah memilih atau berkeras untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu dan bergari.

Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu tidak diberi kesempatan menukar pakaian sebelum dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana Abdul Azeez masih berada dalam tahanan polis selepas prosiding reman bagi membantu siasatan kes penipuan hibah TH.

“Kami terkejut dengan kenyataan yang dikaitkan dengan SPRM yang menunjukkan Abdul Azeez memilih atau berkeras untuk memakai pakaian lokap dan gari ketika hadir ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Amer Hamzah berkata, sebelum meninggalkan lokap polis, anak guamnya pada mulanya dibenarkan memakai pakaian biasa.

Bagaimanapun, katanya, Abdul Azeez kemudian diarahkan menukar kepada pakaian lokap berwarna ungu mengikut prosedur operasi standard (SOP) PDRM sebelum dibawa keluar.

“Selepas itu, beliau dibawa ke Mahkamah Sesyen dua bagi permohonan reman polis dan perintah reman selama dua hari diberikan terhadapnya,” katanya.

Menurut beliau, gari yang dipakai Abdul Azeez juga dikenakan oleh pihak polis dan bukannya SPRM.

“Selepas prosiding reman, anak guam kami dibawa terus dari Mahkamah Sesyen dua ke Mahkamah Sesyen sembilan untuk pertuduhan SPRM terhadapnya dibacakan.

“Beliau tidak dilepaskan daripada tahanan polis di antara kedua-dua prosiding tersebut, termasuk ketika dipindahkan dari satu bilik mahkamah ke bilik mahkamah yang lain,” katanya.

Justeru, katanya, Abdul Azeez tidak mempunyai kesempatan untuk menukar pakaian lokap sebelum prosiding pertuduhan SPRM berkenaan.

“Oleh itu, penampilan anak guam kami dalam pakaian lokap ungu dan gari semasa prosiding SPRM berikutnya bukanlah pilihan peribadinya.

“Beliau dibawa terus ke prosiding tersebut dalam pakaian dan keadaan yang sama seperti ketika menghadiri prosiding reman polis,” katanya.

Sehubungan itu, Amer Hamzah menegaskan bahawa sebarang gambaran Abdul Azeez secara sukarela memilih untuk hadir ke mahkamah dalam keadaan berkenaan adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan.

“Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan keadaan sekitar kehadiran anak guam kami di mahkamah hari ini dan membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan mengenainya.

“Anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana orang yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau mengekalkan sebarang naratif palsu atau mengelirukan mengenai keadaan kejadian ini,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Abdul Azeez memilih dan berkeras untuk memakai baju lokap ketika hadir ke mahkamah dalam keadaan bergari, walaupun telah dinasihati pegawai SPRM dan polis yang mengiringinya.

Dalam kenyataan media pada Rabu, SPRM turut menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap Abdul Azeez bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM.

+ - reset