TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nak kerjasama dengan UMNO? Ini empat syaratnya – Tok Mat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Sept – UMNO membuka ruang untuk kerjasama politik dalam agenda perpaduan Melayu dan Islam, namun menetapkan empat syarat yang perlu dipatuhi mana-mana pihak yang mahu bersama parti itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama berkenaan mesti dibuat dengan niat yang ikhlas serta berteraskan kepentingan strategik politik Melayu dan Islam.

Menurutnya, kerjasama itu juga tidak boleh bersifat sementara, bermusim atau terputus-putus, selain tidak boleh dijadikan kesempatan untuk mengambil manfaat daripada kekuatan atau kelemahan UMNO.

“Kerana ini UMNO amat berhati-hati dan tidak mahu pengalaman buruk, berulang. Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya-Allah.

“Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan dalam apa-apa keadaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.

Mohamad berkata, kerjasama berkenaan juga perlu dinaungi UMNO serta dilaksanakan berdasarkan visi ‘Rumah Bangsa’ yang diperjuangkan parti itu.

Katanya, kerjasama politik bagi memperkukuh perpaduan Melayu-Islam perlu bersifat fleksibel menerusi persefahaman dan kerjasama longgar, bukannya perjanjian yang mengikat.

“Apa-apa kerjasama politik bangsa Melayu tidak dimeterai dalam semangat dan aspirasi ‘Rumah Bangsa’, tidak akan menguntungkan kita. Ia mesti dinaungi UMNO dan menjadikan UMNO sebagai asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu.

“UMNO-lah yang membidani kelahiran nasionalisme Melayu dan akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya. Justeru janganlah berprasangka terhadap visi ‘Rumah Bangsa’ hanya kerana ia diilhamkan UMNO,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan UMNO tidak memerlukan sebarang perikatan politik baharu dan akan kekal bersama Barisan Nasional (BN).

“UMNO tidak memerlukan perikatan politik baharu dan akan kekal dengan Barisan Nasional, kini dulu dan selamanya. Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan bertindak sesuai perhitungan politiknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerjasama dalam agenda berkenaan tidak seharusnya menjadi mekanisme untuk menjadikan UMNO terhutang budi atau bergantung kepada naungan parti lain bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Namun, selama mana UMNO harus berharap kepada bantuan dan budi baik rakan politiknya? UMNO memiliki pengalaman tersendiri dan akan memanfaatkannya untuk membina ketumbukan sokongan ‘solid’ dan ampuh dalam kalangan bangsa Melayu.

“Mengharapkan ihsan dan bantuan, bukan sesekali fikrah UMNO. Fikrah UMNO ialah ia yang seharusnya memberi perlindungan dan naungan kepada bangsa Melayu, insya-Allah,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO tidak pernah menutup ruang untuk usaha menyatukan bangsa Melayu merentasi parti dan ideologi.

Sebaliknya, katanya, UMNO sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak sekiranya ia dapat memperkukuh perjuangan bangsa dan agama.

+ - reset