TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘UMNO pilih berdikari, tidak lagi bergantung dengan PH, PN, PAS, apatah lagi DAP' - Tok Mat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan parti itu tidak lagi mahu bergantung kepada mana-mana parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas dan DAP, sebagai sandaran untuk meneruskan kelangsungan politiknya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu sebaliknya perlu membina kekuatan sendiri dengan memperkukuh strategi serta keupayaan bagi memastikan UMNO mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Berucap pada majlis perasmian serentak sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), beliau berkata, parti itu sedar kelangsungannya tidak boleh disandarkan kepada kekuatan mana-mana pihak lain.

“UMNO juga sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH atau PN. Tidak Pas. Apatah lagi DAP.

“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain, atau kekuatan mereka,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO perlu membina semula kekuatannya sendiri selepas melalui tempoh lapan tahun dalam keadaan ‘mod bertahan hidup’ sejak kehilangan kuasa pada 2018.

Menurutnya, parti itu akan terus meneroka segala kemungkinan, merumus dan menilai setiap ancaman bagi memastikan UMNO terus bertahan serta berfungsi sebagai sebuah parti dan wadah perjuangan.

“Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.

“Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan bahawa kebergantungan kepada parti lain mungkin memberikan kelebihan untuk mencapai matlamat politik dalam jangka pendek, namun boleh membawa kesan lebih buruk kepada UMNO dalam tempoh panjang.

“Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan UMNO.

“Pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik yang tempang. UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya.

“UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim,” tegasnya.

+ - reset