TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Warga asing lari tak cukup tanah elak ditahan imigresen, netizen persoal tahap 'fit' penguatkuasa

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 SEPTEMBER - Sebuah video memaparkan aksi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengejar pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi semalam tular di media sosial.

Video itu mencetuskan pertikaian awam berhubung tahap kecergasan fizikal anggota penguat kuasa.

Dalam kejadian itu, beberapa individu dipercayai warga asing dilihat lari 'tak cukup tanah' sebaik sahaja menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa. 

Bagaimanapun, tindakan tangkapan bertukar menjadi perhatian ramai apabila ada antara suspek berjaya meloloskan diri daripada genggaman pegawai yang mengejar dari belakang.

Rakaman durasi pendek itu dengan pantas meraih puluhan ribu tontonan dan pelbagai reaksi orang ramai di media sosial. 

Rata-rata pengguna media sosial menyatakan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan ketangkasan pegawai terlibat yang gagal menahan suspek walaupun berada pada jarak yang dekat.

Seorang pengguna, pokcik_mu, menyindir kegagalan itu dengan mendakwa sesetengah anggota tidak menjaga tahap kecergasan sepanjang berkhidmat. 

Beliau mendakwa tugas penguatkuasaan yang memerlukan ketangkasan fizikal sepatutnya disokong dengan stamina yang tinggi, bukannya fizikal tidak terurus.

Senada dengan pandangan itu, pengguna dikenali sebagai arif_senai turut menyelar perubahan fizikal anggota penguat kuasa selepas mendapat jawatan. 

Beliau mendakwa calon pegawai sentiasa kelihatan 'fit' dan melepasi kriteria ketat ketika ujian temuduga, namun tahap kecergasan itu kerap merosot selepas beberapa tahun berkhidmat.

Sementara itu, reaksi gelak tawa dan simpati terhadap mutu penguatkuasaan turut disuarakan oleh frhx20 yang terkejut apabila melihat suspek dibiarkan terlepas begitu sahaja tanpa ada tindakan susulan yang berkesan di lokasi kejadian.

Isu keberkesanan operasi dan tahap kesihatan fizikal warga penguat kuasa kini kembali menjadi perdebatan hangat, dengan desakan agar pihak berkuasa mengembalikan ujian kecergasan berkala bagi memastikan setiap pegawai sentiasa bersiap sedia menghadapi situasi kecemasan di lapangan.

+ - reset