TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selangor umum 26 Oktober cuti gantian sempena Jubli Perak pemerintahan Sultan Sharafuddin

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 11 September – Kerajaan Selangor mengumumkan Isnin, 26 Oktober depan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian bagi seluruh negeri bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memaklumkan bahawa pengisytiharan itu dibuat berikutan tarikh kemuncak sambutan pada 25 Oktober jatuh pada hari Ahad.

Ahmad Fadzli menjelaskan bahawa siri sambutan Jubli Perak terbabit dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November depan menerusi susunan 20 program serta majlis rasmi.

Acara kemuncak pada 25 Oktober akan menyaksikan tiga istiadat utama iaitu Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Pengangkatan Sumpah serta Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

Pengisian program lain merangkumi aktiviti kemasyarakatan, kerohanian, sukan, perasmian infrastruktur serta pelancaran barangan peringatan seperti setem khas dan duit syiling khas Jubli Perak.

Ahmad Fadzli turut menegaskan bahawa keseluruhan penganjuran sambutan dibuat secara sederhana dan berhemah selaras dengan titah Sultan Selangor agar tiada pembaziran berlaku.

+ - reset