TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan salah faham, Nurul Amal mahu wanita muda berkelayakan diberi jawatan dalam GLC, bukan lantikan politik semata-mata

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Sept – Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan gesaan supaya wanita muda diberi peluang menjawat jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan bermaksud menuntut lantikan politik semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, seruan itu ditujukan kepada wanita muda yang mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk diberikan ruang mengembangkan potensi kepimpinan mereka.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Wan Zulaika Abdul Kahar menerusi Threads yang mendakwa Puteri UMNO mendesak supaya lantikan politik dibuat dalam GLC.

“Keseluruhan ucapan saya adalah mengenai wanita muda, peranan mereka dan pengiktirafan ke atas kemampuan serta kelayakan mereka.

“Puteri UMNO adalah organisasi yang memperjuangkan kepentingan wanita muda yang perlu disusun dan diberi latihan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nurul Amal berkata, seruan berkenaan bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada wanita muda meningkatkan kemampuan kepimpinan sebagai persediaan untuk masa depan mereka dan masyarakat.

“Sebab itu dalam ucapan saya, seruan supaya diberi ruang menjawat apa-apa jawatan itu adalah untuk wanita muda yang berkelayakan, dan lebih bersifat memberi mereka peluang serta ruang meningkatkan kemampuan kepemimpinan,” jelasnya.

Menurutnya, Puteri UMNO kekal komited memperjuangkan pengiktirafan terhadap wanita muda melalui latihan dan peluang yang adil, sekali gus membantu melahirkan barisan kepimpinan generasi akan datang.

Semalam, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, Nurul Amal mencadangkan supaya laluan khusus diwujudkan untuk wanita muda berusia bawah 40 tahun bagi membolehkan mereka menyertai GLC, kerajaan tempatan dan badan berkanun serta terlibat dalam proses membuat dasar.

Beliau berkata, tuntutan berkenaan bukan sekadar bagi memenuhi sasaran 30 peratus penyertaan wanita, sebaliknya mahu memastikan wanita muda diberikan ruang sebenar untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.

+ - reset