TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Melaka: Ab Rauf beri rakyat pilih siapa bakal jadi 'rakan' BN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Sept – Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu dan tidak akan berkompromi dalam soal pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, BN pada masa sama bakal menawarkan formula “BN Plus” dengan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan rakan strategik terbaik bagi membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, landskap politik Melaka mempunyai keunikan tersendiri dan tidak semestinya perlu mengikut formula kerjasama politik yang digunakan di negeri lain.

“Kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih siapakah rakan strategik yang terbaik untuk kerajaan negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat laman media selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi BN negeri berkata, sebarang rundingan dengan parti politik yang berminat untuk bekerjasama hanya akan dimulakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

“Kita belum berunding lagi kerana saya menegaskan bahawa segala perundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat untuk berada di pentas demokrasi Melaka hanya dibuat selepas pembubaran Dewan,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Ab Rauf menegaskan BN akan kembali bertanding di semua 21 kawasan yang dimenanginya pada PRN lalu.

Menurutnya, parti lain pula perlu mempertahankan kerusi yang dimenangi masing-masing.

“Kita bertanding di tempat kita. Tujuh kerusi yang lain, parti yang menang bertandinglah dan pertahankan kerusi mereka. Kita pertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.

Mengenai tarikh pembubaran DUN Melaka, Ab Rauf berkata pengumuman akan dibuat apabila tiba waktunya, namun memberi bayangan tempoh untuk menuju pembubaran semakin hampir.

“Bila tiba waktunya nanti saya akan umumkan, tetapi waktunya tidak berapa panjang dan tidak berapa pendek.

“Gerak kerja kita sudah bermula sejak dua tahun lalu. Kita hanya menunggu masa melabuhkan tirai gerak kerja ini sebelum membubarkan Dewan,” katanya lagi.

Penggal DUN Melaka ke-15 akan tamat pada 27 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, manakala PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

+ - reset