TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

30 rakyat Malaysia ditahan di Pontianak, ada yang jadi PATI, scam rakyat sendiri

By
|
Kongsi
image

 

JAKARTA 11 Sept – Seramai 30 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat dengan rakyat Malaysia sendiri dipercayai menjadi sasaran.

Turut ditahan dalam operasi berkenaan ialah seorang lelaki warga Taiwan, menjadikan keseluruhan 31 warga asing ditahan.

Ketua Pejabat Imigresen Pontianak, Sam Fernando berkata, 30 rakyat Malaysia berkenaan terdiri daripada 22 lelaki dan lapan wanita.

Kesemua mereka bersama lelaki Taiwan itu dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk siasatan dan soal siasat lanjut.

"Sasaran kemungkinan besar warga Malaysia. Mereka didakwa cuba menipu warga Malaysia. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini, tiada warga Indonesia dalam kalangan sasaran," katanya pada sidang media pada Khamis, berdasarkan video yang dimuat naik dalam talian.

Menurut Sam, Pejabat Imigresen Pontianak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia berkaitan bagi meneruskan siasatan terhadap kumpulan tersebut.

Beliau berkata, kesemua 31 warga asing itu ditahan dalam operasi bersama Polis Bandar Raya Pontianak di sebuah hotel kira-kira pukul 11.15 pagi Selasa.

Operasi dilakukan susulan risikan pihak berkuasa mengenai kegiatan mencurigakan membabitkan sekumpulan warga asing.

Beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan turut dirampas dalam serbuan itu.

Pihak imigresen kini menjalankan pemeriksaan terhadap identiti, dokumen perjalanan dan permit tinggal kesemua individu terbabit.

Siasatan turut dilakukan bagi menentukan sama ada aktiviti yang dijalankan mereka di Indonesia selaras dengan tujuan permit yang diberikan.

"Tiga warga Malaysia didapati tinggal lebih masa manakala terdapat juga penyalahgunaan permit tinggal untuk aktiviti yang tidak mengikut tujuan mereka diberikan," katanya.

Sam berkata, kumpulan berkenaan dipercayai menggunakan 14 bilik di tingkat tiga hotel tersebut untuk menjalankan aktiviti mereka.

Pihak berkuasa turut mengambil keterangan daripada pekerja hotel bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua warga asing berkenaan tidak memasuki Indonesia secara serentak, sebaliknya menggunakan beberapa pintu masuk berbeza.

Ada antara mereka memasuki negara itu melalui Lapangan Terbang Pontianak, lintasan sempadan darat Entikong dan Jakarta dengan menggunakan pelbagai jenis permit imigresen.

Sam berkata, tempoh mereka berada di Indonesia juga berbeza dengan sebahagiannya sudah berada di negara itu selama dua bulan manakala yang lain kira-kira tiga minggu.

"Tempoh masa mereka berada di sini berbeza-beza. Ada yang berada di sini selama dua bulan, manakala yang lain selama tiga minggu. Mengenai kerugian, kami tidak dapat memberikan butiran buat masa ini kerana siasatan dan soal siasat masih diteruskan," katanya.

+ - reset