TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penceramah bebas, Farid Abu Auliya didakwa miliki gambar bogel, video lucah

By
|
Kongsi
image

‘Pertuduhan sebenar berbeza dengan apa yang diviralkan’ – Ustaz Farid

SHAH ALAM 11 Sept – Bekas penceramah bebas, Faridul Firdaus Zaulkapli mendakwa laporan yang tersebar mengenai dirinya sejak lebih setahun lalu tidak selari dengan pertuduhan sebenar yang dihadapinya di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Faridul Firdaus, 40, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya berkata, laporan terdahulu itu telah memberikan gambaran yang disifatkannya memalukan dirinya.

Beliau mendakwa laporan polis berkaitan dirinya dibuat oleh isteri keduanya dengan tujuan untuk memalukan dirinya selain mempunyai kaitan dengan usaha wanita berkenaan untuk bercerai.

Menurutnya, wanita itu masih isterinya yang sah selepas permohonan cerai sebelum ini ditolak Mahkamah Syariah.

“Isteri kedua saya yang membuat laporan ini untuk cerai dengan memalukan saya. Dia gunakan pendekatan sama dengan membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah, tetapi permohonan cerainya ditolak.

“Dia masih isteri yang sah untuk tempoh lebih setahun ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret, hari ini.

Bapa kepada 11 anak itu turut mendakwa terdapat pihak yang bersengkokol dengan isterinya sehingga menyebabkan dirinya berdepan pelbagai laporan sensasi sejak lebih setahun lalu.

Faridul Firdaus berkata, beliau mahu menafikan beberapa laporan terdahulu yang didakwa mengaitkannya dengan perbuatan berbeza daripada pertuduhan sebenar yang kini dihadapinya.

“Saya mahu nafikan kenyataan sebelum ini kerana pendakwaan dan reman sebelum ini adalah berbeza dengan apa yang diviralkan sehingga memalukan saya.

“Sebelum ini saya direman di bawah Seksyen 509 (mengaibkan kehormatan). Untuk apa? Sekarang saya sudah berdepan pertuduhan sebenar (memiliki gambar bogel dan video lucah),” katanya.

Beliau turut meminta wartawan dan pempengaruh yang pernah menerbitkan laporan mengenai dirinya supaya menurunkan kandungan yang didakwanya tidak tepat.

Katanya, beliau mempunyai hak untuk mendapatkan pembelaan selain mahu kes berkenaan dilaporkan berdasarkan pertuduhan sebenar yang dikemukakan di mahkamah.

“Saya sudah beri masa lebih setahun kepada portal untuk menurunkan tajuk-tajuk sensasi mengenai saya. Saya ada peguam dan bukan mahu lari daripada kes ini, tetapi saya mahu menjaga nama baik dan agama.

“Jadi, saya ingat semua wartawan datang hari ini, yang tidak tahu dibayar ke apa, untuk mencari kebenaran atau tidak. Saya ada hak mendapat pembelaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Faridul Firdaus berkata, beliau tidak berniat untuk bermasalah dengan pihak media, sebaliknya mahu penjelasan dan penafiannya turut diberikan ruang.

“Saya bukan mahu bermasalah dengan wartawan. Saya cuma mahu wartawan mencari kebenaran dan memberi saya hak untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Daripada tahun lalu, saya sudah rasa malu apabila laporan dan tajuk yang dibuat menggambarkan seolah-olah saya melakukan perkara lain, sedangkan pertuduhan yang dihadapi sekarang adalah berbeza,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan terdahulu termasuk bahawa dirinya menyebarkan video seks serta menggunakan agama untuk kepentingan tertentu.

“Semuanya salah. Ada yang kata saya tunggang agama dan menyebarkan (video seks), tetapi pendakwaan hari ini lain. Jadi saya ada hak untuk menjelaskan perkara itu.

“Saya mahu lihat wartawan tulis, kalau tidak tulis apa kenyataan saya ini, saya akan buat saman,” katanya.

Terdahulu, Faridul Firdaus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah.

Pada 5 Julai tahun lalu, media melaporkan polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung dakwaan penyebaran video seks membabitkan isteri-isterinya.

Siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan isteri kedua suspek pada 16 Jun tahun lalu.

Pengadu ketika itu mendakwa penceramah berkenaan menyebarkan video seks dirinya, madu-madunya serta beberapa wanita lain.

Sumber: Kosmo Online

+ - reset